Paling Popular
Terkini

Selepas umum untuk bertanding atas tiket Parti Sosialis Malaysia (PSM), Abdul Razak Ismail hari ini dilihat telah memulakan 'kempennya' dengan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap kerajaan negeri Selangor.

Abdul Razak yang juga bekas setiausaha gerakan Otai Reformis hari ini membuat laporan berhubung dakwaan salah guna wang peruntukan oleh kerajaan negeri kepada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) berjumlah RM23 juta.

Menurut Abdul Razak, beliau mempersoalkan bagaimana wang tersebut diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dan bagaimana ia dibelanjakan oleh FAS sebelum ini.

Beliau turut mendakwa, sebahagian wang RM23 juta itu telah digunakan untuk membayar gaji pemain import.

"Dimaklumkan, sebahagian dana digunakan untuk bayar gaji pemain-pemain profesional ini. Kita rasa tak wajar.

"(Datuk Seri) Azmin (Ali) (sebelum ini) dilantik sebagai presiden FAS dan dia gunakan dana rakyat sebanyak RM23 juta untuk dia julang piala Malaysia.

"Tak berbaloi duit sebanyak itu dihabiskan untuk membeli pemain dan bayar gaji mereka," katanya pada sidang media di ibu pejabat SPRM Selangor di Shah Alam.

Sehubungan itu, Abdul Razak yang mengumumkan akan bertanding di DUN Sri Muda berkata, beliau membuat laporan kepada SPRM untuk meminta badan tersebut menyiasat bagaimana dana rakyat itu digunakan dan adakah terdapat unsur salah guna kuasa.

"Saya ambil peluang buat laporan SPRM untuk SPRM siasat bagaimana wang rakyat digunakan untuk bayar pemain import sedangkan mereka bukan pengundi pun," katanya lagi.

Pada 2015, kerajaan Selangor menyumbang dana sebanyak RM23 juta untuk memajukan bola sepak negeri termasuk membangunkan Akademi Merah Kuning.

Dalam belanjawan Selangor 2017 pula, Azmin tidak menyediakan perbelanjaan bagi pembangunan sukan bola sepak dan perkara itu juga dikatakan tidak disentuh oleh ADUN Bukit Antarabangsa itu semasa membentangkan belanjawan.

Pada tahun lalu pula, isu sama pernah dibangkitkan oleh bekas presiden Otai Reformis, Saari Sungib yang mendesak FAS memberi penjelasan berhubung peruntukan RM23 juta bagi tujuan pembangunan bola sepak.

Isu itu dibangkitkan susulan FAS mengancam menarik diri daripada menyertai saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2017 sekiranya pihaknya gagal mendapat dana RM15 juta selepas kerajaan negeri mengambil keputusan untuk tidak memberikan peruntukan tambahan kepada FAS.

Bagaimanapun, perkara tersebut tidak berlaku apabila pada musim ini, Selangor masih lagi menyertai Liga-M.

Menteri Besar pula pada Disember tahun lalu, telah meletakkan jawatannya sebagai presiden FAS dan jawatan itu kini disandang oleh Datuk Seri Subahan Kamal.

Lihat Komen
ADS