Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Pogba, Salah, gajah dan kunyit di mata Nik Abduh
Diterbitkan:  Jun 12, 2019 5:10 PM
Dikemaskini: 9:10 AM

Ketika persaingan bola sepak Liga Perdana Inggeris berehat, anggota Jawatankuasa Pusat PAS Nik Abduh Nik Abdul Aziz menyatakan beliau tidak sabar-sabar menunggu datangnya Ogos.

Hal demikian kerana, kata anak bekas menteri besar Kelantan itu, beliau merindui aksi lincah dua pemain yang selalu menjadi perhatian dalam liga berkenaan, iaitu Paul Pogba dan Mohameh Salah.

Namun sesuai dengan kedudukannya sebagai orang politik, Nik Abduh tidak ketinggalan mengaitkan kekagumannya kepada kedua-dua pemain beragama Islam itu dengan perkembangan semasa dalam negara.

Kata Nik Abduh, Pogba dan Salah adalah pemain bola sepak yang hebat dan layak dipuja serta dijadikan idola peminat sukan berkenaan.

"Pogba dan Salah tidak mahir dalam politik. Mereka mungkin mentah dalam politik.

"Bayangkan jika mereka mahir dalam politik. Dengan akhlak yang terpuji dan benarnya pilihan hidup masing-masing, mereka layak menjadi suri teladan (role model) anak muda negara," katanya dalam media sosial petang ini.

Gajah-gajah ditinggalkan

Nik Abduh yang juga anggota parlimen Bachok menambah politik Malaysia ketika ini masih "kotor" dan diburukkan pula dengan cubaan membersihkannya oleh orang yang "pengotor".

Berkias menjelaskan maksudnya, beliau berkata, akibat dua kumpulan sedang bersaing akhirnya pihak yang tidak berkenaan dan berada di tengah menerima padah.

"Politik Malaysia pula masih kotor. Pengotor mencuci pengotor.

"Akhirnya, bagai gajah lawan gajah. Rumput mati kering di tengah," katanya.

Beliau kemudian membangkitkan persoalan mengenai siapakah yang mampu "mematikan" gajah tersebut.

"Bilalah rumput nak matikan dua ekor gajah yang tersebut itu? Mampukah dengan bantuan lengkuas, halia dan kunyit?" katanya lagi.

Justeru kata Nik Abduh, beliau berharap kedatangan Ogos nanti akan membawa suasana yang baru di pentas persaingan bola sepak.

"Tak sabar menanti Salah dan Pogba kembali beraksi di padang.

"Rumput sentiasa hijau di padang bola walau Pogba dan Salah lincah berlaga. Gajah-gajah ditinggalkan," katanya.

Lihat Komen
ADS