Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Momota stabil, pulang ke Jepun
Diterbitkan:  Jan 15, 2020 12:33 PM
Dikemaskini: 4:33 AM

Pemain badminton nombor satu dunia Kento Momota dan dua pegawai sukan Jepun yang cedera dalam kemalangan awal pagi Isnin di KM13.7 Lebuhraya Maju Expressway (MEX) di Serdang, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi ini untuk pulang ke Jepun.

Momota dan dua pegawai sukan itu tiba di KLIA kira-kira 8.10 pagi dalam tiga kenderaan berasingan dan disambut oleh Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

Mereka yang memakai topeng muka kemudiannya dibawa menaiki "buggy" di balai pelepasan KLIA serta dikawal ketat.

Mereka kemudian dibawa ke bilik VVIP KLIA sebelum berlepas menaiki penerbangan ke Jepun yang dijadualkan pada 9.40 pagi.

Momota dan dua pegawai berkenaan keluar dari Hospital Putrajaya malam tadi dan menginap transit di sebuah hotel berhampiran KLIA sebelum berlepas ke Jepun untuk penerbangan pagi.

Dalam kejadian 4.40 pagi Isnin, van yang membawa Momota dan tiga lagi dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terlibat dalam perlanggaran dengan sebuah lori, menyebabkan pemandu van B Nageswarau, 24, meninggal dunia di tempat kejadian.

Selain Momota, turut cedera ialah pembantu jurulatih Yu Hirayama, 35; pegawai fisioterapi Morimoto Akifumi, 42; dan William Thomas, 30, seorang operator sistem Hawkeye.

Momota menjuarai kejohanan Masters Malaysia dengan menumpaskan bekas juara dunia dari Denmark Viktor Axelsen di peringkat akhir di Arena Axiata, Bukit Jalil pada Ahad.

--Sementara itu, Norza berkata Momota semakin pulih daripada kecederaan yang dialaminya dan akan menerima rawatan lanjut di Jepun.

"Semua termasuk Momota… Saya boleh katakan berada dalam keadaan stabil,” katanya kepada pemberita di KLIA.

Sementara itu, beliau menasihati semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kemalangan itu.

“Jangan buat spekulasi, tunggu sehingga kertas siasatan lengkap,” katanya sambil mengucapkan terima kasih di atas bantuan dan kerjasama semua pihak berhubung nahas itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS