Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua bahagian Umno Subang Datuk Muhammad Bushro Mat Johor tidak dapat mengesahkan dakwaan DAP bahawa sebidang tanah milik Umno bahagian tersebut – yang didakwa dibeli dengan harga murah pada tahun 2004 – kini menjadi tapak sebuah kondominium.

Namun, Muhammad Bushro berkata, Umno bahagian itu tidak memiliki apa-apa tanah sejak beliau menjadi ketua bahagian pada 2008.

"Saya tak pasti sebab saya jadi ketua bahagian dari tahun 2008. Jadi, kalau mereka nak bawa saya ke Selcat (Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor) pun bawalah," katanya ketika diminta mengulas dakwaan DAP itu.

NONE Beliau seterusnya ditanya sama ada tanah yang dibangkitkan itu memang milik Umno bahagian.

 

"Tak ada. Tak ada tanah disenaraikan dalam senarai aset Umno Subang sejak saya jadi ketua bahagian. Saya sendiri pun satu inci pun saya tak pernah ambil tanah," katanya tegas.

Soalan sama turut dikemukakan kepada setiausaha perhubungan Umno Selangor, Datuk Ser Mohd Zin Mohamed yang berkata beliau akan meneliti dakwaan tersebut terlebih dahulu.

"Saya tak dapat beri maklum balas lagi. Saya tak ada detail lagi. Saya akan minta penyelidik saya kaji dahulu," katanya.

Pemimpin Umno berkenaan diminta mengulas dakwaan DAP yang mengunjungi kawasan kondominium Suria Damansara, yang didakwa diperolehi Umno Subang pada tahun 2004 dengan harga pada RM1 sekaki persegi dan kini bernilai RM200 sekaki persegi.

NONE MP DAP Tony Pua hari ini mendakwa tanah berkenaan kini menjadi tapak projek Suria Damansara – kondominium 200 unit yang setiap satunya dianggarkan berharga RM450,000, dakwanya lagi.

"Apabila mereka (BN) menafikan dakwaan kami, mereka kata tanah itu untuk bina tadika dan dewan komuniti dan perkhidmatan lain. Tetapi, ini bukan kes sebenar," katanya.

ADUN Sekinchan Ng Suee Lim pada bulan lalu mendedahkan BN membeli 24 keping tanah di Selangor pada harga hanya RM1 sekaki persegi sekitar tahun 2004 ke 2008.

Perkara itu kemudiannya dijelaskan ketua penerangan Umno Selangor,  Abdul Shukor Idrus yang berkata tanah berkenaan tidak diberi kepada individu, sebaliknya digunakan untuk kepentingan rakyat.

Malaysiakini sedang berusaha mendapatkan penjelasan lanjut daripada bekas ketua bahagian Umno Subang Datuk Mokhtar Dahlan berhubung status tanah di Kelana Jaya itu.

Berita berkaitan:

 
 
 
 
 

 

ADS