Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Perjalanan ke Henoko, dari hotel memakan masa kira-kira satu jam. Jalan agak berbukit. Kami berhenti sebentar di hentian rehat entah di mana, dan Nariko penterjemahku membawakan keledek manis yang masih panas.

Kami melepasi pekan kecil, desa comel dan rumah berceracakan dengan sesekali terlihat laut lepas. Langit terang tanpa awan. Matahari memancar terik di hujung Julai.

“Kita ke mana?” soalku masih belum dapat melepas lenguh di pinggang sejak kelmarin.

“Henoko, di Nago.” Yui-san mencelah, semacam mengingatkan.

“Haa...” balasku, dan kembali aku mengingat bahawa penduduk Okinawa sedang bergasak dengan tentera Amerika dan kerajaan Jepun secara berdepan sejak 19 April 2004.

Protes itu bermula kecil-kecilan. Kerajaan Jepun merestui pemindahan pangkalan Futenma ke Henoko, dan pembesaran Kem Schwab yang menganjur ke lautan. Sehingga tahun lalu, bantahan dan demonstrasi di hadapan kem tentera itu kekal berlangsung melampaui 5,000 hari.

Ada hari demonya mencapai angka ribuan pembantah, dan ada hari demonstran hanya sekitar 500 hingga 600 orang. Akan tetapi apa yang melongokan adalah ia berlaku setiap hari. Setakat ini tanpa rehat. Tidak menghitung keadaan dingin atau panas, sepertinya hari ini; dan menjangkau sehingga lapan jam. Terdapat perkhidmatan bas dengan setia membawakan gerombolan penduduk Okinawa dari serata pulau. Kenderaan itu akan menurunkan demonstran, berlalu dan menyinggah lagi untuk mengambil pembantah yang mungkin perlu ke bilik air atau mencari makanan. Selalunya, bekal makan dibawa dan apa sahaja yang diperlukan untuk memudahkan kumpulan anti tentera Amerika ini. Kebanyakan demonstran adalah orang yang sudah berumur, dan pernah mengecap pahit maung era perang dunia.

Demonstrasi ini bukan sahaja berlaku di hadapan pagar Kem Schwab tetapi juga dari sebelah laut. Mereka akan berkanu dan berbot menghampiri batas paling dekat kem tentera tersebut untuk mengunjuk rasa. Demonstrasi itu aman, dan tanpa keganasan.

Dalam tahun 2002, kerajaan Jepun merelakan pembinaan landasan sepanjang 3,000 meter di luar perairan Henoko. Aku membayangkan pada 19 April 2004 itu hanya 70 orang yang duduk-bantah sambil membuat pagar manusia agar trak dan lori membawa bahan binaan tidak dapat melepasi halangan. Pada 19 September, angka aktivis mendadak menjadi 400 orang dan siap siaga untuk bertempur dengan polis antirusuhan. Mereka sepakat menghalang kemaraan Naha Defense Facilities Administration Bureau (DFAB) untuk meneruskan kerja pembinaan.

Kami tiba ketika matahari sudah mulai mencanak. Beberapa trak sedang masuk melalui pintu kem, terdapat polis yang mengawasi dengan cuak. Aku difahamkan, tapak bantahan Henoko ini sudah menjadi tumpuan aktivis keamanan dan hak asasi manusia dari serata dunia. Antara lain pembantah datang dari Guam, juga sebuah wilayah yang diduduki Amerika Syarikat secara cabul. Mereka datang untuk memberi semangat kepada demonstran aman yang sebahagian besarnya melepasi umur 60 tahun. Aku melihat beberapa orang datuk, dengan keringat meleleh di tengkuk, mengenakan topi jerami, dua tiga orang nenek berteriak tanpa henti. Sesekali mereka menjerkah dengan suara serak.

Apabila lori-lori itu kelihatan berhenti keluar masuk, mungkin kerana sudah waktu makan tengah hari, mereka juga berhenti, berundur ke khemah-khemah binaan kekal yang dibina di tebing jalanan. Di situ air minuman, makanan diagihkan; kemudian protes berlangsung dengan ucapan-ucapan membakar semangat.

Kira-kira setengah jam kemudian aku melihat seorang wanita yang sudah agak berumur, dengan kerusi roda tiba. Pembantah bersama-sama bertepuk tangan. Aku difahamkan wanita tua tersebut adalah salah seorang mangsa Perang Dunia Kedua yang terselamat. Di Okinawa, mangsa-mangsa perang yang masih hidup seperti ini mendapat status tinggi dan dianggap berdaulat. Suara dan sabda mereka mengenai pangkalan tentera Amerika akan dianggap sakral.

Kepada pembantah yang kehairanan melihat kehadiranku, aku menceritakan mengenai perjuangan Orang Asli yang menghalang pembalak di Kelantan. Aku menceritakan perihal agamawan yang melindungi pembalak dengan rumus dan firman ayat suci Tuhan yang diputarbelitkan. Juga aku mengisahkan keteguhan hati orang Penan membuat halangan agar penjarah hutan tidak dapat masuk ke kawasan tanah adat mereka. Tetapi mereka di Petrajaya tuli. Seperti yang kutuliskan dalam Bagaimana Anyss Naik ke Langit. Kayu-kayu balak itu akhirnya mendarat di Jepun.

Dalam kes Henoko, perairan Oura yang indah dan kaya dengan hidupan laut akan musnah oleh pembinaan pangkalan tersebut. Antara lain hidupan laut yang dikatakan mesra di perairan Oura di luar Henoko adalah dugong, penyu, dan karang Heliopora Coerulea.

Aku menyapa beberapa orang demonstran lain. Mereka menjelaskan, gabenor Okinawa yang sedang menderitai barah akan mengeluarkan perintah melarang pembinaan landasan dalam kem tersebut pada bila-bila masa. Mereka juga percaya kerajaan pusat akan bertegas - entah mengapa - bermatian mempertahankan tentera Amerika, padahal mereka di pihak rugi dan harus mengeluarkan dana besar untuk kehadiran pangkalan itu.

Pembantah di luar kem tersebut kemudian bersorakan apabila diberitahu sebuah van telah disewa untuk berkeliling pulau memberitahu orang Okinawa agar turun berdemonstrasi dua tiga hari lagi.

Aku melihat kesungguhan orang yang sudah berusia ini. Apakah yang menjadikan mereka sungguh bulat hati. Apakah yang membuatkan diri mereka sedemikian muktamad untuk tidak mengalah sehingga demo itu makan tahun dan hari.

Ada yang telah pergi meninggalkan mereka di jalan raya itu untuk ke alam abadi. Mungkin, kerana mereka orang Jepun, mereka juga mempercayai akan berlaku penjelmaan semula. Dan pembantah akan tetap di situ untuk ribu tahun lagi, jika perlu. Kerana roh manusia yang melawan berkitar semula berulang kali dalam diri insan atau individu lain.

Aku dibawa ke kawasan pantai. Memang sedikit absurd membiarkan diri disengat matahari di kala puncak siang di musim panas. Akan tetapi di situ kami ditemukan dengan pasukan demonstran lain. Jika ada satu pasukan yang kerjanya melawan dan sanggup bertempur di hadapan kem; ada pasukan lain yang lebih canggih dan berani iaitu berasak dan membantah di tengah laut.

Sewaktu aku tiba itu, seekor anjing besar mengawasi kami tetapi segera menjadi jinak manja tatkala melihat pembantah dua tiga orang tersebut melayani kami dengan mesra.

Di situ aku diberi penjelasan mengenai bantahan di laut, bagaimana ia dilakukan.

Apakah ada hasilnya?

Ada. Mereka menjadi seperti langau dan lalat yang menghurung dengan bunyi bising. Lambat laun ada yang termakan. Bahkan ada beberapa rancangan untuk membina tembok di lautan sudah terbengkalai kerana protes yang tidak kenal lelah. Di pantai itu, bantahan mereka sudah makan lebih seribu hari.

“Kami tak akan berhenti.”

Seorang gadis dari Hiroshima yang menjadi sukarelawan penyelam memberitahuku perairan luar itu dulunya penuh dengan dugong. Dia percaya dugong masih ada di situ meski sering dilanda deruman enjin bot dan kapal tempur tentera Amerika. Dia juga mengaku mahu ke Tawau untuk menyelam di Sipadan.

“Saya hanya mahu berenang bersama dugong. Tetapi Amerika memusnahkan peluang itu. Dan kerajaan Jepun berpihak kepada mereka.”

Adakah Jepun di tanah besar tahu apa yang dideritai Okinawa?

Pada 11 Ogos 2018 lalu protes terhadap tentera Amerika mencapai angka 70,000 orang dan mendapat liputan media antarabangsa. Berkebetulan dua minggu lalu, selepas aku meninggalkan Tokyo; Takeshi Onaga, Gabenor Okinawa yang ikut membantah kerajaan pusat meninggal dunia akibat barah. Suasana sedih melanda seluruh pulau.

Aku masih ingat bagaimana aku menjawab kepada seorang pembantah yang sudah renta di luar kem.

“Kenapa kamu datang ke Okinawa, ke Henoko?” soal pak cik itu.

“Okinawa bukan sebuah tempat. Ia lebih dari itu. Ia adalah warga, ibaratkan seorang rakyat, umpamanya seorang manusia; dan kami semua adalah warga, rakyat dan manusia yang berdarah daging serupa. Kamu adalah Okinawa. Kami adalah Okinawa. Kita semua Okinawa.”

Aku masih ingat. Matanya bercahaya. Aku melihat azam dan tekad terpancar dari kalbunya.

Terima kasih dia bilang.

“Kami yang harus mengucapkan terima kasih,” kataku.

“Tolong menulis tentang kami.”

Aku mengangguk, ya; yang sedang aku lakukan kini!

Bersambung…


FAISAL TEHRANI pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

 

BERKAITAN
Bahagian 1: Okinawa melawan
Bahagian 2: Menangis di Haebaru
Bahagian 3: Gua kematian Itokazu Abuchiragama
Bahagian 4: Peperangan bawah umur
Bahagian 5: Merdeka, dijajah Amerika

Lihat Komen
ADS