KOLUM | Siapa pelerai krisis undang Jelebu tahun 1980?
Dalam artikel sebelum, saya telah menyentuh bagaimana Yamtuan Besar boleh sebagai raja berkeadilan menjadi kuasa pemutus di Luak Tanah Mengandung, khususnya apabila sesuatu masalah itu menjadi kusut.
Untuk masyarakat Melayu bawah tadbiran Adat Temenggung, kompleksiti Adat Perpatih sering menjadi bahan seloroh. Mohd Rosli Saludin dalam bukunya Seri Menanti Tanah Beradat Bermula di Sini menyatakan punca perselisihan di pelbagai luak berundang. Krisis utama menurut beliau adalah perebutan jawatan Undang itu sendiri.
Dalam banyak keadaan, ini berlaku lantaran pemilihan dan kuasa Undang dilakukan secara bergilir dalam satu suku, dan mestilah Biduanda. Suku Biduanda ini pula berpecah kepada beberapa pecahan lagi dan bukan semuanya berhak menuntut. Di Jelebu dan Johol misalnya, terdapat dua jenis waris Biduanda iaitu waris negeri dan waris berundang.
Waris negeri merupakan waris yang asal-muasal dalam luak manakala waris berundang adalah orang mendatang. Oleh kerana permuafakatan dalam masyarakat di situ, maka waris berundang diangkat menjadi ketua bagi masyarakat itu. Masa ke semasa terdapat pihak mempertikaikan status waris negeri sehingga timbulnya perselisihan antara Undang dengan waris negeri terutamanya di Johol dan Jelebu.
Menurut Mohd Rosli, di Jelebu, pernah berlaku pergaduhan kerana isu pemungutan zakat fitrah. Undang Jelebu memaklumkan kepada Dato' Ombi, seorang pegawai kanan Undang bahawa beliau membenarkan Jabatan Agama Negeri mengutip zakat fitrah melalui amil. Dato' Ombi berpendapat hal ini melanggar aturan sedia ada kerana ini bersangkut paut dengan adat di Jelebu dan perlu diadakan perbincangan dengan dato-dato lembaga yang lain.
Perbezaan cara fikir ini membuka jalan kepada persengketaan apabila Dato' Ombi mengadakan mesyuarat bersama Orang Delapan untuk membincangkan perkara itu. Undang pula memilih untuk tidak menghadirkan diri tanpa memberi sebarang sebab. Mesyuarat diteruskan dengan membincangkan beberapa kesalahan Undang antaranya mengadakan mesyuarat bersama buapak tanpa melibatkan dato-dato lembaga. Perkara ini dianggap melanggar tatatertib adat yang sepatutnya diputuskan dari bawah. Maka dalam mesyuarat tersebut Orang Delapan sebulat suara memecat Undang.

Setelah keputusan dihantar kepada pihak kerajaan, lima dato' dari kalangan orang Delapan memilih untuk memihak kepada Undang pula. Ini menjadikan pemecatan Undang ini tidak sah.
Bagaimanapun Mohd Rosli tidak menyatakan secara terperinci atau memberi nama-nama mereka yang terlibat. Justeru kita tidak mengetahui apakah kes yang beliau rujuk ini. Ada kemungkinan kekusutan yang tercetus di Luak Jelebu itu adalah seperti mana yang ikut didokumentasikan oleh Mohd Arof Ishak dalam bukunya, Perlembagaan Purbakala Luak Jelebu terbitan Persatuan Sejarah Malaysia tahun 2026. Buku ini adalah hasil penyelidikan yang didanai oleh Rais Yatim, bekas menteri besar Negeri Sembilan dari Umno, yang beliau menulis kata alu-aluan.
Pengisytiharan tak sah
Menurut Arof, kekusutan terjadi pada 4 Februari 1980 ekoran pengisytiharan Dato Musa Wahab sebagai Undang Luak Jelebu ke-15. Pengisytiharan ini dipertikaikan oleh Lembaga Dato Umbi yang beranggapan pengisytiharan itu tidak sah kerana tidak menurut Adat Luak Jelebu atau Perlembagaan Purbakala Luak Jelebu.
Kekusutan itu menjadi sangat rumit sehingga Lembaga Dato Umbi mencabar pelantikan itu di mahkamah. Ini dilakukan setelah Lembaga Dato Umbi tidak berpuas hati dengan Dewan Keadilan dan Undang yang menerima pelantikan Musa Wahab.
Sebagai balasan, Lembaga Dato Menteri Jelebu dan Musa Wahab selaku Undang telah membuat rayuan kepada Mahkamah Persekutuan dengan menghujahkan pemilihan Musa Wahab telah pun melalui Dewan Keadilan dan Undang, telah melalui Adat Jelebu, dan tidak boleh dipertikaikan.
Mahkamah Persekutuan pada 26 September 1980 telah membuat penghakiman yang mahkamah tidak ada kuasa ke atas perkara ini. Mahkamah dengan keputusan 4-1 telah memutuskan Dewan Keadilan dan Undang punya wibawa untuk memutuskan keabsahan Undang Jelebu dan merestui pemilihan Dato Musa Wahab.

Menurut Mohd Redzuan Tumin dalam Istiadat Tabal Undang Luak Jelebu - Pusaka Adat Zaman Berzaman kekusutan yang berlaku di Jelebu itu mendapat perhatian Yamtuan Besar dan usaha mencabar Dato Musa itu gagal kerana, saya petik ayat Redzuan, “pelantikan Dato Musa telah mendapat restu daripada Yang Dipertuan Besar Seri Menanti”.
Dan ini memadai menjadi alasan untuk Dato Menteri Sah Mangku Alam Raja Sari, Dato Othman Baginda menguatkuasakan pelantikan beliau. Jika ini dijadikan hujah, ternyata duduk letak Yamtuan Besar sebagai kuasa pemutus ketika berlaku kekusutan sangat terpakai. Pelantikan ini menjadi lebih kuat lantaran Dato Musa adalah benih pusaka Waris Sarin yang sebelum ini pernah diketepikan dari menjadi Undang.
Di Jelebu, penggiliran dilakukan antara tiga waris ini, iaitu Waris Ulu Jelebu yang merangkumi kawasan Ulu Jelebu, Langkap dan Jenam Anak Sungai Jelebu. Manakala Waris Sarin tertumpu di Sungai Sarin, Sungai Pah dan Sungai Relai bersatu dengan Sungai Teriang selepas tiga batu ke hilir Kuala Jelebu. Waris Kemin yang ketiga pula meliputi tempat yang bernama Kemin dua batu ke hulu Sungai Klawang dari Kuala Jelebu dan juga tanah berdekatan Sungai Teriang suku batu kiri kanan Kampung Bemban, Mentaus.
Apa yang menarik dengan insiden di Jelebu pada tahun 1980 ini adalah campur tangan Rais Yatim selaku menteri besar Negeri Sembilan dari Umno ketika itu. Dalam laporan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 6 Februari 1980, Rais Yatim menyatakan pelantikan Undang Jelebu Dato Musa itu tidak lagi boleh dipertikai kerana katanya, "kerajaan negeri mengiktiraf Datuk Musa Wahab sebagai Undang Luak Jelebu yang baru. Pelantikan beliau itu telah pun disembahkan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan."
Perhatikan bagaimana Umno menerusi Rais secara cekatan menggunakan hujah pengiktirafan kerajaan negeri dan restu Yamtuan Besar. Beliau juga meminta kekusutan dan krisis “tidak lagi dipanjang-panjangkan”. Bukan itu sahaja, Dato Menteri Sah Mangku Alam Raja Sari, Dato Othman Baginda yang menguatkuasakan pelantikan Undang Jelebu itu turut memecat tujuh dari lapan orang Datuk Lembaga Adat yang membantah pelantikan tersebut kerana ‘melanggar adat’.
Memo bantahan kepada setiausaha Dewan Keadilan
Ekoran daripada itu mantan Datuk Ombi yang dipecat, Syed Alwi bersama-sama dua orang dari wakil Datuk Lembaga bertujuh, iaitu Datuk Cincang Ahmad dan Datuk Paduka Anti Sulaiman telah menyampaikan memorandum bantahan kepada Setiausaha Dewan Keadilan dan Undang. Mereka juga berusaha untuk masuk menghadap Tuanku Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan untuk memutuskan kekusutan ini. Namun seperti dijelaskan sebelumnya, kekusutan ini dibawa ke mahkamah dan diputuskan akhirnya pelantikan Dato Musa adalah sah.
Insiden duluan daripada tahun 1980 ini membuktikan Yamtuan Besar pernah sahaja dirujuk untuk menjadi kuasa pemutus dalam sesuatu krisis, malah dengan restu Baginda, boleh menzahirkan atau menolak untuk menzahirkan seseorang calon.
Dalam hal Rais Yatim selaku menteri besar yang nampaknya ligat mencampuri urusan adat pada tahun 1980 itu, sebenarnya tidaklah susah mana untuk memahaminya. Ini kerana Dato Musa yang dipilih menjadi Undang Jelebu tersebut adalah ahli dan tokoh Umno yang aktif. Justeru keberpihakan Rais yang ketika itu merupakan sebahagian dari kepimpinan Umno dapat dimengertikan.
Menurut kajian akademik Muhammad Iqbal Haq Ibrahim dan Ermy Azziaty Rozali terbit tahun 2021 berjudul “Sumbangan Dato Undang Musa al-Haj Kepada masyarakat majmuk di Jelebu, Negeri Sembilan” di Jurnal Islam dan Masyarakat Kontemporari; Dato’ Undang Musa ini adalah bekas pengerusi Umno Cawangan Jelin, selain menjawat jawatan di Biro Pendidikan/Agama Umno Bahagian Jelebu. Beliau juga turut menjadi Jawatankuasa Umno Bahagian Jelebu selain menjadi ahli Kelab Rotary, ahli jawatankuasa masjid dan surau di sekitar Port Dickson ketika dilantik.

Hari ini, apa yang dikesalkan adalah Rais Yatim di usia maghribnya masih menggunakan pengaruh beliau dalam isu-isu adat dan aktif mempertikaikan keabsahan Yamtuan Besar Tuanku Muhriz. Tindak-tanduk beliau ini amat malang. Kita bukan lagi berada di tahun 1980. Peristiwa di Jelebu tahun 1980 ini juga sepatutnya menjadi iktibar kepada beliau, dan kita generasi baru, yang pelantikan seorang Undang sepatutnya tidak dipengaruhi oleh kuasa, atau muslihat mana-mana kumpulan atau parti politik rakus tertentu. Adat tidak seharusnya dinodai.
Duhai ahli politik, sudah-sudahlah meletak tangan kotor kalian dalam setiap perbalahan adat.
Kita perlu meneliti peristiwa duluan di Jelebu pada tahun 1980 ini dengan cermat. Pertama, mahkamah tidak boleh memutuskan keabsahan seseorang Undang, atau apa-apa keputusan yang telah melalui Dewan Keadilan dan Undang. Badan ini dianggap mempunyai wibawa tersendiri di dalam persoalan adat, selagi tidak mengganggu Perlembagaan.
Siapakah yang mempengerusikan Dewan Keadilan dan Undang ini? Yamtuan Besar tentunya. Ketika itu Yang Dipertuan Besar adalah Almarhum Tuanku Ja'afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman. Justeru ‘restu’ Baginda sebagai kuasa pemutus dilihat terpakai.
Iktibar terbesar untuk kita juga ialah masalah kekusutan di Negeri Sembilan ini selalunya terjadi kerana agenda politik, dan mereka yang melakukannya tidak segan silu pula melakukannya. Sejarah daripada tahun 1980 ini boleh dijadikan pedoman untuk kita menilai letak duduk sebarang konflik kelak.
Sebelum ini saya telah menulis mengenai insiden Yamtuan Besar yang pernah bertindak sebagai raja berkeadilan, apex atau pemutus di Luak Tanah Mengandung, dan juga di Luak Jelebu. Bagaimana pula keadaannya di Luak selain daripada Seri Menanti dan Jelebu?
FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), merangkap anak buah dari suku Tiga Batu.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/07/20b3d80cd56468daeb2b6deb78d6c6da.jpg)

/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/04/593c50f0d070d7eb21bd1da9f908ab22.jpg)
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/10/3799cdb42e4f841ae7529c518be95430.jpg)
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/07/cdbcf737793693d8d97aaf1a68ead311.jpg)
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/07/96fabc768dff9fe377d5df054eff7e05.jpg)
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/07/2d1b549fb584698d56c7dd0265242595.jpg)