PRN JOHOR | Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo membidas sekeras-kerasnya dakwaan Khairy Jamaluddin yang menuduh parti itu cuba mengawal Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun.
Menyifatkan tuduhan tersebut sebagai salah dan tidak berasas, Gobind menegaskan bahawa DAP sentiasa menghormati institusi menteri besar dan menyokong penuh kepimpinan sedia ada bawah semangat kerjasama Kerajaan Perpaduan.
"Baiklah, itu tidak benar. Saya rasa pada akhirnya kita telah bekerja sangat rapat dengan menteri besar di Negeri Sembilan dan saya rasa Anthony Loke (setiausaha agung DAP) telah menyatakan perkara ini banyak kali.
"Adalah salah untuk berkata demikian. Pendirian kita ialah DAP sentiasa sangat menyokong menteri besar.
"Menteri besar yang memegang kawalan. Menteri besarlah yang akhirnya membuat keputusan," katanya kepada pemberita selepas ceramah DAP di DUN Tangkak, semalam.

Sebelum ini, Khairy dalam ucapannya di pelancaran mesyuarat Pemuda dan Puteri Umno Seremban berkata hanya Umno-BN yang boleh menjaga kepentingan masyarakat itu berbanding Aminuddin.
Bekas anggota parlimen Rembau itu turut menuduh Aminuddin tidak berkuasa dan berada bawah kawalan DAP, yang memegang kerusi terbanyak dalam kalangan parti PH.
Merujuk kepada komposisi kaum wakil PH dalam Dewan Undangan Negeri, Khairy berkata orang Melayu dan Islam berada dalam keadaan baik dalam kerajaan negeri sebelum ini kerana mempunyai 14 wakil rakyat Umno untuk memperjuangkan kepentingan mereka.
Mengulas lanjut, Gobind yang juga menteri digital berkata proses pembuatan keputusan di peringkat negeri sentiasa melibatkan konsensus dan perbincangan harmoni antara semua parti komponen.
"Tetapi seperti di negeri-negeri lain, ada kerjasama, kita bekerja bersama. Pandangan semua orang diambil kira dan akhirnya apa yang kita mahu ialah pastikan negeri itu berjaya.
"Jadi sebab ini saya rasa akhirnya itu bukan kenyataan yang sesuai, itu bukan kenyataan yang betul.
"Memang benar bahawa menteri besar di Negeri Sembilan sentiasa berada dalam kedudukan untuk membuat keputusan tetapi sudah tentu ia dengan kerjasama semua parti yang juga sebahagian daripada kerajaan negeri," katanya.
Terdahulu, Gobind ketika berucap di kempen PRN Johor yang kini memasuki fasa akhir mengingatkan bahawa mandat lima tahun sekali ini amat kritikal dalam menentukan kelangsungan pembangunan ekonomi negeri.
"Mesej saya untuk semua pengundi ialah setiap lima tahun anda perlu membuat keputusan siapa yang akan menjadi kerajaan anda untuk lima tahun akan datang.
"Ia keputusan penting kerana itulah yang akan membentuk masa depan anda dan saya rasa pilihan raya ini benar-benar mengenai masa depan Johor.
"Kita telah melakukan yang terbaik untuk memastikan rakyat Johor berjaya dan sekarang kita serahkan kembali kepada mereka untuk memutuskan sama ada mereka mahu memberi kita lima tahun lagi untuk meneruskan kerja baik itu," katanya.
DUN Tangkak ditandingi calon PH dari DAP Ee Chin Li merupakan penyandang kerusi selama tiga penggal bakal dicabar calon BN-MCA Haw Chin Teck.
DUN itu mempunyai 36,955 pengundi dengan masyarakat Cina terdiri daripada 46.7 peratus diikuti Melayu 41.2 peratus, India 9.9 peratus dan lain-lain sebanyak 2 peratus.
