PKR berhimpun di Melaka. Perhimpunan itu tentunya sarat persoalan, terutama sekali kerana ia diadakan selepas kekalahan parti itu dalam tiga pilihan raya negeri.
Melaka tentunya dipilih kerana dalam sebulan dua lagi tibalah giliran Melaka mengadakan PRN.
Kalau diikutkan bebelan orang ramai sejak PRN Sabah, Johor, dan terbaharu di Negeri Sembilan; Melaka ini sudah boleh kita teka kesudahannya. Apatah lagi kalau mengambil kira perkembangan terkini di pihak parti-parti pemerintah yang masing-masing tidak mahu kalah drama.
Nurul Izzah Anwar memutuskan untuk menarik diri daripada jawatan timbalan presiden yang menjadi punca perpecahan parti itu buat kali kedua, yang natijahnya muncul parti sang kancil pimpinan Rafizi Ramli. Jawatan timbalan presiden kini dipangku Saifuddin Nasution, manakala Amirudin Shari kekal sebagai pengarah pilihan raya parti.
Pada masa yang sama, kerusi Parlimen Subang, Ampang, Petaling Jaya, dan beberapa kerusi lagi sudah bukan lagi milik PKR. Di Ampang, setiausaha politik PM sendiri dihantar menjadi penyelaras. Rodziah Ismail menjadi persona non grata. Di kawasan-kawasan lain, peruntukan juga ditahan.

Langkah ini pula berlatarkan keputusan ‘cemerlang’ PKR di tiga PRN yang disebut tadi.
Seperti seloka Minang yang dijadikan lirik lagu popular oleh Hattan:
Ko Jolobak, ko Jolobu
Tuai padi tigo tangkai.
Segala pengorbanan bertahun lama, darah dan air mata, sudahnya dapat dua kerusi.
“DAP kalah dua kerusi, PKR menang dua. Kira OK-lah tu,” saya kata kepada seorang teman pegawai menteri. Saya tak pasti kalau dia ketawa atau menangis.
Seminggu sebelum itu sebenarnya sudah ada bacaan tentang potensi menang-kalah PH di Negeri Sembilan.
"Apa PM patut buat?" lebih kurang macam itu pertanyaan diajukan dalam ‘diskusi’ itu kepada saya, di kepala meja. Semua mata tiba-tiba memandang saya yang memang sejak awal tidak minat untuk bercakap banyak. Hadir saya pada malam itu hanyalah untuk mendengar dan membuat kesimpulan demi kepuasan hati.
Daripada cerapan dilakukan oleh teman-teman di peringkat akar rumput, pertemuan dengan pemimpin parti serta reaksi yang diterima; tidak sukar untuk membuat kesimpulan bagaimana kesilapan di Sabah dan Johor tidak diperbetulkan. Malah, kesilapan baharu pula ditambah di Negeri Sembilan. Tiada sinar di hujung terowong ini. Itu hakikat yang perlu ditelan, seperti menelan durian dengan kulit-kulitnya sekali.
Saya memandang orang yang bertanya dan dengan jawapan yang sudah tersedia saya katakan kepadanya, "PM perlu isytihar satu tempoh masa tetap untuk PRU16 berlangsung."
Lebih kurang begitu, tetapi tiadalah sebegitu tersusun. Saya bukannya pandai bercakap.
"PM kena bagi tempoh tiga ke enam bulan, umum dia akan bubarkan parlimen. Sementara itu, jawatan dan peranan perdana menteri akan dipangku oleh TPM."
Meja tidak membalas cadangan itu.
"Biar Umno bertikam." Saya kata, dengan senyuman sinis. "Ada tiga orang kan dok berebut. Zahid, Tok Mat, Jo Ghani. Biar bertikam."

Bagi saya Anwar Ibrahim perlu tinggalkan istana dalam puing-puing kehancuran. Itu sahaja yang PM boleh buat sebenarnya. Tidak ada jalan pulang untuk memperbaiki keadaan, yang ternyata sampai ke tahap ini pun kerana kesilapan sendiri.
Inferens ini tentunya tidak akan diterima oleh gerombolan yang menyokongnya.
Namun begitulah. Apa pun yang terjadi, Anwar Ibrahim tetap perdana menteri.
Namun untuk tempoh berbaki, dengan kedua-dua parti PKR serta DAP masing-masing sedang dan akan bersidang; kedua-duanya mungkin akan membuat keputusan yang tidak mengejutkan untuk terus tabah mendepani hari-hari muka tanpa mengambil sebarang langkah drastik.
Umno sudah nyata kembali menapak dengan megah, di tengah-tengah sombong dan bongkaknya pendekatan yang dibawa pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan yang bagai kodok rebus, bersenang-senang dalam periuk yang sedang menggelegak.
Harapan, dalam konteks hari ini hanya mengingatkan kita kepada kidung Siren dalam kisah Odysseus mencari jalan pulang.
Sementara anak-anak kapalnya disuruh menyumbat lubang telinga dengan lilin, Odysseus diikat ke tiang layar supaya dapat mendengar kidung berhantu para Siren. Ditanya apa yang dia dengar, Odysseus berkata:
"Segalanya yang kau mahukan, dan segala sesuatu yang kau harap tidak pernah kau harapkan. Semacam rasa gatal yang sedap mahu digaru, tetapi duduk di bawah kulit dan tidak dapat dicapai. Jadinya yang gatal itu menjadi tidak tertahan.
“Ia memberitahu apa yang kau paling inginkan adalah yang paling tidak boleh kau peroleh, dan apa yang paling kau inginkan itu adalah apa yang sudah kau capai dan terlepas dari genggaman.
“Ia adalah syair tentang janji-janji yang gagal aku lunaskan. Dan ia memberitahu aku bahawa aku sebenarnya tidak mahu pulang."
Harapan, bagi saya begitulah. Sakit, dan menyakitkan. Padan muka Odysseus, siapa suruh beriya pergi berperang. Tiada yang ia peroleh selain sial bertimpa-timpa.
Mungkin sudah sampai waktu agar semuanya dibakar musnah sampai tiada tersisa walau secebis debu.
Kecualilah kalau PM sudahnya membuat keputusan meninggalkan DAP terkapai-kapai sendirian kembali menjadi pembangkang.
IZMIL AMRI merupakan penulis dan pemerhati politik.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
