Pengumuman bekas perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa beliau akan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) adalah suatu yang bersejarah.
Akta ini bukan saja berkaitan dengan pengurusan pusat-pusat pengajian tinggi untuk memajukan pendidikan dan sumber manusia negara. L
ebih penting lagi ia juga berkaitan dengan nilai-nilai demokrasi dan progresif, serta kaitannya dengan kebebasan aktivisme pelajar dan kebebasan intelektual dan akademik negara. Maka wajarlah juga dilihat konteks politik penggubalan Auku.
Pada 16 Mei 1969, tiga hari selepas Peristiwa 13 Mei, Majlis Gerakan Negara (Mageran) ditubuhkan. Timbalan perdana menteri Tun Razak Hussein menjadi pengerusi dan pengarahnya. Parlimen digantung, undang-undang darurat dikuatkuasakan dan beliau memegang kuasa penuh pentadbiran negara.
Dua minggu kemudian, 1 Jun 1969, universiti kedua negara, Universiti Pulau Pinang ditubuhkan. Idea awal penubuhannya dibuat pada tahun 1959.
Pada tahun berikutnya, iaitu pada 18 Mei 1970, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menjadi tuntutan orang Melayu menjelang pilihan raya umum tahun 1969 ditubuhkan. Ia ditempatkan di kampus sementara di Maktab Perguruan Bahasa di Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

Perubahan kepimpinan negara berlaku pada 22 September 1970, perdana menteri Tunku Abdul Rahman meletak jawatan seperti yang dituntut oleh sebahagian daripada ahli Umno dan orang Melayu, antaranya Mahathir Mohamad.
Tun Razak dilantik menjadi perdana menteri dan menteri pelajaran ialah Hussein Onn. Ketika itu urusan pengajian tinggi terletak bawah Kementerian Pelajaran. Kementerian Pengajian Tinggi belum wujud.
Pada tahun berikutnya, iaitu pada 23 Februari 1971 Mageran dibubarkan diikuti dengan pemulihan parlimen. Ketika itu saya berada di darjah enam.
Tidak berapa lama kemudian, Hussein Onn membentangkan Rang Undang-undang Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku). Ia diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 27 April 1971 dan berkuat kuasa pada 30 April 1971.
Pada masa itu, negara hanya memiliki tiga universiti iaitu Universiti Malaya (UM), UKM dan Universiti Pulau Pinang.
Tujuan asal Auku 1971 ialah untuk menyediakan kerangka perundangan bagi penubuhan, pentadbiran dan peruntukan kewangan universiti dan kolej universiti.
Pelajar gelisah, demo di seluruh dunia
Pada 4 Oktober 1971, Universiti Pulau Pinang diubah namanya kepada Universiti Sains Malaysia (USM). Ketika itu adalah dirasakan tidak sesuai bagi sebuah universiti persekutuan diberikan nama mengikut negeri. Apa pula kata negeri lain?
Beberapa minggu kemudian, pada 29 Oktober 1971, Universiti Pertanian Malaysia (UPM) ditubuhkan daripada gabungan Kolej Pertanian Malaya dan Fakulti Pertanian UM.
Pada 14 Mac 1972, Maktab Teknik di Jalan Gurney (kini Jalan Sultan Yahya Petra), Kuala Lumpur diisytihar sebagai universiti dengan nama Institut Teknologi Kebangsaan (ITK).
Tahun berikutnya iaitu pada tahun 1973, saya ada membaca akhbar kecil bernama Mahasiswa Negara yang diterbitkan oleh Persatuan Mahasiswa UM (PMUM) dan Gemasiswa terbitan Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM).
Kedua-dua akhbar itu menyiarkan tulisan-tulisan kritikal bukan saja terhadap pentadbiran universiti masing-masing tetapi juga terhadap kerajaan dalam pelbagai isu. Selain itu, akhbar-akhbar itu juga mengkritik kuasa-kuasa Barat khususnya Amerika Syarikat dalam isu-isu global.
Pada tahun 1960-an dan 1970-an, anak-anak muda terutama kalangan pelajar sedang gelisah dan demonstrasi diadakan di merata-rata tempat di seluruh dunia. Di Amerika, anak-anak mudanya bangkit membantah Perang Vietnam. Demonstrasi pelajar juga berlaku di Britain, Perancis, Jerman, Itali, Australia, Jepun, Indonesia, Thailand.
Dari akhbar Mahasiswa Negara, saya dapat merasakan betapa cergas dan bebas pelajar-pelajar UM. Melalui PMUM, mereka mendapat kebebasan dan kemudahan untuk aktif. Mereka bukan saja mempunyai kemudahan pejabat sendiri, bebas menerbitkan risalah dengan memiliki mesin cetak siklostil serta juga bebas menulis apa saja dalam akhbar Mahasiswa Negara yang bebas diedar dan dijual di luar kampus. Mereka bebas menubuhkan kelab dan menganjurkan acara-acara politik. Mereka juga bebas untuk menggunakan bas PMUM untuk kegiatan-kegiatan di luar kampus, termasuk yang berbentuk politik.
Pada masa itu, presiden PMUM adalah Hishamudin Rais yang juga ketua Kelab Sosialis.

Dari akhbar Gemasiswa pula, saya membaca mengenai isu pembalakan di tapak kampus tetap UKM di Bangi. Di muka depan akhbar itu disiarkan juga kartun yang mempersoalkan ke manakah pergi hasil balak kawasan itu.
Pada masa itu kerajaan negeri Selangor bawah menteri besar Harun Idris telah menetapkan kampus UKM di satu kawasan yang luas di Bangi. Terdapat banyak pokok-pokok balak di situ. Presiden PMUKM ialah Halim Arshat.
‘Long march’ dari Shah Alam ke parlimen
Pada 22 April 1974, pelajar-pelajar Institut Teknologi MARA (ITM) di kampus Shah Alam dan Petaling Jaya mengadakan tunjuk perasaan. Mereka menuntut supaya diploma ITM diiktiraf oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) serta menaikkan taraf ITM kepada universiti.
Ketika itu, Diploma ITM hanya diiktiraf setaraf dengan Sijil Tinggi Persekolahan (STP). Institut itu juga tidak dibenarkan mengeluarkan ijazah.
Satu memorandum dihantar kepada Pengerusi ITM, Perdana Menteri, Menteri Pelajaran dan ahli-ahli Parlimen. Menteri pelajaran ketika itu ialah Mahathir.
Setelah beberapa bulan tiada jawapan, Kesatuan Siswa ITM (KSITM) yang presidennya adalah Ibrahim Ali dan pemangku setiausaha agungnya, Anuar Tahir melancarkan “long march” (perarakan jauh) dari Shah Alam ke bangunan parlimen secara berjalan kaki.
Di Batu Tiga, pelajar-pelajar itu disekat dan disurai oleh polis Unit Simpanan Persekutuan (FRU). Ekoran itu para pelajar merampas kedua-dua kampus ITM dengan pihak polis mengepungnya. Penguasaan pelajar berlaku selama enam hari sehinggalah kerajaan bersetuju untuk mengkaji tuntutan mereka.
Pada 3 Disember 1974, pelajar-pelajar UM, UKM, ITK dan ITM berdemonstrasi di Padang Kelab Selangor (kini Dataran Merdeka) untuk membantah kerajaan kerana kegagalan menangani isu-isu rakyat hingga membawa kepada kelaparan di Sik dan Baling, Kedah. Demonstrasi rakyat di Baling itu mendorong para pelajar itu untuk berhimpun di Kuala Lumpur.
Ketika itu saya di tingkatan tiga dan turut berada di depan padang itu untuk menyaksikan demonstrasi tersebut. Para pelajar itu kemudian berarak ke Masjid Negara. FRU menyerang dan menangkap sebahagian daripada pelajar dan ditahan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Antaranya adalah Anwar Ibrahim. Gambar beliau dalam trak polis tersiar dalam akhbar.
Ekoran itu, para pelajar dihalang oleh polis daripada keluar kampus. Pada masa itu kebanyakan pelajar tinggal di asrama dalam kampus. Lalu mereka mengadakan demonstrasi di dalam pagar kampus menghadap jalan awam setiap petang untuk beberapa ketika. Saya turut bersama sekumpulan orang ramai mendengar ucapan pemimpin-pemimpin pelajar ITK di Jalan Gurney dan membaca risalah-risalah yang diedarkan.
Di UM, para pelajarnya menubuhkan Majlis Tindakan Sementara (MTS) dan mengambil alih kampus. Mereka tidak dapat bertahan lama. Ada kumpulan pelajar yang prokerajaan yang menggelar diri mereka Majlis Tindakan Nasional (MTN) merampas kembali kampus daripada MTS dan menyerahkannya kepada kerajaan. Pada suatu waktu subuh, polis masuk kampus dan menangkap para pelajar dan pensyarah yang dikatakan terlibat. Pada masa inilah Syed Husin Ali ditahan bawah ISA tetapi Hishamudin Rais melepaskan diri keluar negara.
Setelah pihak pentadbir mengambil balik kampus, PMUM digantung dan akhbar Mahasiswa Negara dihentikan penerbitannya. Kelab Sosialis pula dibubarkan.
Budiman ganti Mahasiswa Negara
Pada 1 April 1975, kerajaan menukar nama ITK kepada Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Tetapi masa itu ITM masih tetap tidak diberi taraf universiti atau kolej universiti.
Lebih sebulan kemudian iaitu pada 13 Mei 1975, Auku dipinda secara besar-besaran. Pindaan itu mengetatkan kawalan ke atas gerakan dan aktiviti politik. Pindaan ini memberikan kuasa penuh kepada kerajaan untuk melantik para pentadbir khususnya naib canselor. Para pelajar dan pensyarah dilarang terlibat dengan politik. Segala bentuk autonomi yang ada sebelum itu dimansuhkan.
PMUM dan juga persatuan-persatuan mahasiswa di universiti lain sudah tidak bebas seperti dahulu. Semua universiti menubuhkan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) yang berkuasa penuh ke atas persatuan-persatuan mahasiswa. Mereka perlu sentiasa meminta izin untuk sebarang aktiviti. Mereka juga tidak boleh bebas menggunakan bas persatuan seperti dahulu.
Di UM, naib canselor Ungku Aziz menganjurkan penerbitan majalah bernama Budiman untuk para pelajar bagi menggantikan Mahasiswa Negara. Budiman ini bukan saja “lembut” tetapi juga melaporkan berita-berita rasmi yang ditulis oleh pihak HEP.

Bagi menghalang berulangnya peristiwa demonstrasi para pelajar itu, kerajaan memperkenalkan program kursus kepimpinan bawah Biro Tata Negara (BTN) diurus oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Walaupun asalnya ia bertujuan untuk menyedarkan para pelajar tentang tanggungjawab mereka sebagai pelajar terhadap negara, bangsa dan masyarakat tetapi ia dipenuhi dengan ceramah-ceramah yang mengandungi hujah-hujah fahaman politik parti pemerintah.
Di Dewan Rakyat, DAP dan Parti Keadilan Masyarakat (Pekemas) membantah pindaan Auku itu kerana disifatkan menyekat autonomi akademik dan kebebasan aktivisme politik pelajar yang bertentangan dengan amalan sebuah negara demokrasi.
Ahli parlimen Kota Melaka iaitu setiausaha agung DAP, Lim Kit Siang berucap menolak pindaan itu. Begitu juga dengan ahli parlimen Batu Tan Chee Khoon yang merupakan presiden Pekemas.
Saya baca teks penuh ucapan beliau yang disiarkan satu muka surat penuh di halaman belakang dalam akhbar rasmi Pekemas yang bernama Matahari.
Pada 1 April 1975, kerajaan menukar nama ITK kepada Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Tetapi masa itu ITM masih tidak diberi taraf universiti atau kolej universiti.
Sejak pilihan raya umum tahun 1978, pemansuhan Auku sering disebut dalam manifesto parti-parti pembangkang khususnya DAP, Parti Rakyat dan PAS. Janji untuk memansuhkan Auku disebut seiring dengan pemansuhan ISA dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan selaras dengan hasrat mendukung hak bersuara dalam demokrasi.
ZIN MAHMUD seorang wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
