Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Soo Wincci gigih kumpul ilmu di dada demi kerjaya

Menyedari dirinya berada di negara orang dan berdepan saingan sengit, penyanyi dan model, Dr Soo Wincci, gigih menambah ilmu di dada sebagai bekalan untuk lebih berjaya.

Wincci berkata, dengan memiliki pencapaian tinggi dalam akademik, peluangnya untuk menempatkan diri dalam pasaran kerjaya antarabangsa yang diidamkan menjadi mudah.

“Apabila persaingan terlalu tinggi, seseorang itu perlu memiliki sijil, barulah pihak pengurusan percaya untuk mengambil kamu bekerja.

“Di luar negara, mereka tidak kisah dari mana asal seseorang itu, asalkan yang meminta pekerjaan itu mempunyai pencapaian tinggi dalam akademik,” katanya kepada Malaysiakini.

Berkongsi pencapaian akademik yang diterimanya baru-baru ini, Wincci berkata, dia berjaya menggengam ijazah kelima, pascasarjana fellowship dari Berklee College of Music di Valencia, Sepanyol.

Pencapaian tersebut melayakkan bekas ratu Miss World Malaysia 2008 itu diiktiraf dalam Malaysia Book of Records (MBOR) dengan dua rekod baru iaitu, Ratu Cantik Yang Memiliki Ijazah Akademik Terbanyak dan Artis Rakaman Yang Memiliki Ijazah Akademik Terbanyak.

Nama Wincci sebelum ini pernah terpahat dalam MBOR sebagai Miss World Malaysia pertama yang menamatkan pengajian peringkat doktor falsafah (PhD).

Namun, di sebalik kejayaan itu, tiada sesiapa tahu Wincci, 33, sebenarnya pernah diduga ketika mahu menghabiskan pengajiannya.

Katanya keluarga dia pernah menentang keputusan saya untuk ke Sepanyol kerana mereka khuatir ia akan menambahkan beban hutang.

“Malah sewaktu pertama kali menjejakkan kaki ke sana, saya hampir kehabisan wang.

"Pada satu ketika saya hanya ada €1 (RM4.65) dalam poket dan tempat tinggal pula tak ada," katanya.

“Pada waktu itu juga produksi saya di Malaysia berdepan masalah kewangan dan disebabkan itu juga kawan-kawan meninggalkan saya,” katanya.

Terbaru, Wincci, 33, mendapat tawaran dari University of Polytechnic di Sepanyol untuk melanjutkan pengajian di peringkat doktor falsafah kedua dalam bidang produksi artistik.

Untuk itu dia terpaksa berulang-alik dari Asia ke Sepanyol bagi menyeimbangkan pengajian dengan kerjaya seninya, seperti menjayakanprogram televisyen dan persembahan pentas.

Untuk nota, Wincci juga memiliki ijazah sarjana muda undang-undang yang diperolehi pada 2007, sarjana pengurusan perniagaan (2008) dan PhD dalam pengurusan perniagaan (2016) serta sarjana muzik (2018).

Sementara itu, dalam perkembangan terbarunya Wincci muncul dengan single berjudul Cut Away yang ditampilkan dalam empat versi iaitu bahasa Melayu, Mandarin, Inggeris dan Sepanyol.

Kata Wincci, single itu akan dilancar dan diterbitkan bersama syarikat rakaman dari Taiwan dan China, iaitu Ocean Butterflies, Taihe dan Touch Music.

“Kali ini saya bukan saja menggubah dan menyanyi tetapi menerbitkan lagu ni.

"Ia dihasilkan sebagai rakaman kepada setiap langkah yang diambil ketika memulakan hidup baru di Sepanyol,” katanya.

Lihat Komen
ADS