Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Noorkhiriah enggan 'subahat' kecewakan jemaah umrah

Ditawarkan ke Tanah Suci secara percuma, namun selepas mendapat tahu ada yang tidak tuntas dengan pakej yang ditawarkan dan mungkin membabitkan orang ramai, maka Noorkhiriah rela menarik diri.

Bagi pelakon itu lebih baik dia 'terlepas' peluang ke Mekah secara percuma daripada bekerjasama dengan pihak lain dan membuka risiko mengecewakan ramai individu yang mengimpikan perjalanan sebagai tetamu Allah itu.

Kata pelakon siri televisyen Nur itu dia lebih rela menarik diri daripada menerima bulat-bulat tajaan berkenaan dan berisiko menyebabkan orang lain menggigit jari.

Menceritakan apa yang berlaku, kata Noorkhiriah, kejadian berkenaan berlaku pada tahun lalu apabila ada sebuah agensi yang menawarkan pakej umrah ke Mekah menghubunginya.

Selepas mengadakan perbincangan dan mencapai persetujuan, Noorkhiriah bersetuju membantu mempromosikan pakej tersebut kepada orang ramai.

Bagaimanapun katanya dia mendapat tahu agensi berkenaan mengalami masalah tertentu termasuk membabitkan aspek pengurusan.

"Saya terpaksa tarik diri selepas memuat naik gambar saya dan poster pakej di Instagram untuk tolong mempromosi pakej berkenaan.

"Lebih baik saya tak pergi daripada mengakibatkan kesusahan pada orang lain.

"Saya juga tak mahu dibebani sebarang masalah pada kemudian hari," katanya.

Tuhan ganti dengan lain

Noorkhiriah ditemui pada majlis pelantikannya sebagai ikon Umrah De Hearty di sebuah restoran di sebuah restoran di Taman Tasik Perdana baru-baru ini.

Selain Noorkhiriah, turut dilantik ialah rakan artisnya, Azhan Rani, dan anggota Rabbani, Azadan.

Berkongsi lanjut pengalaman tersebut, kata pemilik nama penuh Noorkhiriah Ahmad Shapie itu, selepas mempromosikan pakej berkenaan dia dihubungi seseorang yang mula membongkarkan masalah dalaman dihadapi agensi terbabit.

"Saya dapat mesej peribadi di Instagram berhubung situasi sedang didepani agensi tu," katanya.

Hal itu menyebabkan pelakon terbabit mula mengesyaki sesuatu kurang baik sedang berlaku di luar pengetahuannya.

Bagi memastikan ia bukan dakwaan kosong semata-mata, Noorkhiriah, 40, mula bertanyakan perkara tersebut dengan lebih lanjut pada pemilik agensi terbabit.

"Mereka mengesahkan perkara tu selepas saya bertanya," katanya.

Tidak menganggap kejadian itu sebagai kekecewaan, Noorkhiriah berkata, dia sebaliknya reda dan percaya ada hikmah menanti untuk orang yang bersabar.

"Saya tahu tuhan akan gantikan dengan rezeki lain.

"Dan terbukti, akhirnya saya diberi peluang lain untuk mengerjakan umrah bersama-sama Maad Travel & Tours Sdn Bhd Disember ini.

"Kali ni saya berhasrat bawa suami dan anak -anak sekali," katanya.

Lihat Komen
ADS