Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Sinead lelong pakaian lama untuk bantu NGO amal
Diterbitkan:  Sep 10, 2019 4:34 PM
Dikemaskini: 10:28 AM

Penyanyi terkenal, Sinead O’Connor, mengumumkan dia bakal melelong - secara dalam talian - pakaian pernah digunakannya sebelum memeluk Islam.

Lebih menarik, tindakan Sinead itu bertujuan mulia. Dia mahu menggunakan dana yang diperolehi daripada lelongan tersebut untuk membantu sebuah organisasi perlindungan.

Penyanyi kelahiran Ireland itu berkata, dia akan mendermakan wang berkenaan kepada Pertubuhan Bray Women’s Refuge, sebuah organisasi bukan kerajaan yang menawarkan perlindungan kepada kanak-kanak dan wanita daripada mangsa keganasan dan penderaan.

“Ini adalah pengumuman, akan ada penjualan semua pakaian saya sebelum memeluk Islam untuk membantu Bray Women's Refuge,” ciapnya melalui Twitter.

Tindakan itu diambil apabila secara kebetulan, Sinead tinggal berdekatan dengan tempat Bray Women's Refuge beroperasi.

Pusat berkenaan didirikan 40 tahun lalu dan merawat kira-kira 140 wanita serta ratusan kanak-kanak setiap tahun.

 

Sinead memeluk Islam sekitar Oktober 2018 dan menukar namanya kepada Shuhada Davitt.

Dalam perkembangan lain, selepas beberapa tahun menyepi daripada radar hiburan, penyanyi yang terkenal dengan lagu Nothing Compares 2 U itu baru-baru ini muncul untuk wawancara The Late Late Show.

Kalau susah nak mengira

Sinead menghadiri program rangkaian RTE One itu untuk bersembang mengenai agama dianuti sekarang.

Sinead yang tampil mengenakan tudung dan pakaian berwarna merah juga mempersembahkan Nothing Compares 2 U, ditulis penyanyi dan penerbit, Prince.

Dalam wawancara bersama Ryan Tubridy itu, Sinead, 52, mengaku selepas mendalami al-Quran, baru dia menyedari dirinya memang asalnya Muslim.

“Perkataan 'kembali' merujuk kepada idea bahawa jika anda mengkaji al-Quran, anda akan menyedari bahawa anda seorang Muslim sepanjang hidup anda, dan anda tidak sedar perkara berkenaan, itulah yang berlaku pada saya,” katanya.

Sementara itu, pada ciapan lain, Sinead - yang pernah menjadi paderi pada 1990 - juga mengesahkan dirinya baru menukar agama sekali dalam seumur hidupnya.

“Ramai menyatakan saya sudah menukar agama lebih daripada satu. Bukan begitu. Saya dilahirkan Kristian dan menukar agama kepada Islam.

“Itu baru satu perubahan, bagi sesiapa yang mengalami kesukaran untuk mengira,” ciapnya.

 

Lihat Komen
ADS