Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Impak daripada populariti Azura sepanjang tempoh menjadi penghibur, hati Jamal Abdillah pun tergerak untuk menamakan bayi perempuannya yang bakal lahir dengan judul lagu dan filem berkenaan.

Jamal - yang pernah mengalu-alukan peminat untuk mencadangkan nama buat cahaya mata ketiganya itu - mengakui perkataan Azura sering muncul dalam fikirannya sejak akhir-akhir ini.

Kata Raja Pop Malaysia itu, sejak ditayangkan pada 1984, penangan filem Azura membuatkan naskhah tersebut kekal diminati ramai, justeru membuatkan dia berhasrat untuk mengabadikan panggilan berkenaan pada anaknya.

“Memang Azura beri impak amat besar dalam hidup saya sejak filem tu diterbitkan. Ke mana saja saya pergi, pasti peminat akan minta supaya dinyanyikan lagu Azura.

“Kuat betul nama tu sampai melekat dalam fikiran untuk diberikan pada anak yang ada dalam kandungan isteri dan dijangka lahir 5 Okt nanti,” katanya.

Pada masa sama, Jamal menjelaskan ungkapan Azura itu bukanlah satu-satunya nama buat anak yang bakal lahir, sebaliknya akan disusuli Yamani - sesuai dengan salasilah keluarganya yang mempunyai darah campuran Melayu - Yaman.

Jamal, 60, ditemui pada majlis pengumuman single terbarunya bersama Wani Hasrita, Belenggu Rindu, di sebuah restoran di Cheras hari ini.

Takut benda tak elok

Jamal atau nama penuhnya Jamal Ubaidillah Mohd Ali mendirikan rumah tangga bersama Zai Izzati Khiruddin pada April 2017.

Namun sebelum ini Jamal dan Zai Izzati, 25, dan belum ada rezeki menimang cahaya mata kerana wanita terbabit mengalami keguguran sebanyak tiga kali.

Melalui perkahwinan terdahulu, Jamal dikurniakan dua anak lelaki, Osama Yamani, 18, dan Ahmad Zaki Yamani, 13.

Jamal berkata, perasaan yang dialaminya menjelang kelahiran anak perempuan itu memang luar biasa kerana sebelum ini semua anaknya lelaki.

Pun begitu penyanyi lagu Sandarkan Pada Kenangan itu mengakui pernah terdetik di hatinya untuk tidak mahu mempunyai anak. Alasan Jamal, dia pernah melakukan "perkara tidak elok" - merujuk kepada detik dia ditahan dan menjalani pemulihan dadah.

"Bimbang berlaku pada anak. Lebih-lebih lagi anak perempuan, susah dijaga berbanding lelaki,” katanya.

Tidak cukup dengan itu dia juga berasa gementar dan takut, mendorong dia tidak bercadang untuk hadir di sisi Zai Izzati sewaktu proses kelahiran tersebut.

“Tengok isteri berjalan dengan perut besar pun saya takut, apa lagi nak melihat dia sewaktu bersalin. Memang saya tak pernah masuk bilik bersalin.

“Awal-awal lagi saya dah maklumkan pada isteri, dan saya bersyukur dia sangat memahami,” katanya.

Lihat Komen
ADS