Seni & Hiburan Malaysiakini

Dalam sakit Sia beri kata-kata semangat

Hiburan  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Penyanyi yang popular dengan lagu Elastic Heart, Sia Furler, mendedahkan dia menderita penyakit kronik akibat masalah neurologi dan gangguan tisu penghubung genetik yang dipanggil sindrom Ehlers-Danlos (EDS).

Dalam situasi jarang berlaku dan tanpa berselindung, penghibur kelahiran Australia itu - yang terkenal kerana menyembunyikan hal peribadi dan wajahnya sebelum ini - berkongsi masalah dihidapi dengan jutaan pengikutnya di Twitter baru-baru ini.

Sia yang juga pencipta lagu itu turut memberi kata-kata sokongan buat mereka yang bergelut masalah kesihatan.

"Saya sedang menderita penyakit kronik iaitu penyakit berkaitan neurologi, Ehlers Danlos.

"Saya ingin berkata kepada sesiapa yang menderita sakit sama ada fizikal atau emosi, saya sayang kamu dan teruskanlah hidup.

"Kehidupan amat sukar, kesakitan meruntuhkan semangat dan kamu tidak keseorangan," ciapnya.

Minggu lalu, penyanyi yang juga terkenal dengan lagu Chandelier itu menjelaskan sindrom berkenaan lebih terperinci.

Kerana kanabis masa muda

Kata Sia, 43, berdasarkan laporan Institut Kesihatan Kebangsaan (NIH), EDS boleh mengakibatkan kesan sampingan seperti sakit sendi longgar, malah boleh membawa kepada ke komplikasi yang mengancam nyawa.

"Kebanyakan pesakit EDS mempunyai kulit lembut dan halus yang elastik dan rapuh serta mudah lebam," katanya.

Mengulas mengenai masalah saraf dan kesihatan mentalnya, Sia menyatakan dia kini sedang berehat untuk menerima rawatan bagi gangguan tekanan-selepas trauma yang kompleks.

Penghibur itu pada masa sama mengidap neuralgia yang disifatkan NIH sebagai kesakitan teruk dirasai sepanjang laluan saraf disebabkan komplikasi prosedur perubatan terdahulu.


Baca Dolores dari The Cranberries mati mengejut


"Sekiranya anda ingin mengetahui lanjut, penyakit neuralgia ni disebabkan pembedahan rutin yang dijalani tiga tahun lalu," katanya mengenai masalah neurologi dihidapi.

Sia juga mengaku berehat untuk melakukan terapi intensif akibat masalah gangguan stres pascatrauma (post traumatic stress disorder).

"Ternyata diagnosis gangguan bipolar II saya salah," katanya.

Dia sebelum ini pernah mengumumkan kepada umum berhubung diagnosis bipolar II kira-kira beberapa tahun lalu dan menyalahkan penyakit itu kerana menghisap kanabis sewaktu muda.

Bintang pop itu juga melahirkan perasaan simpati buat sesiapa yang kurang mempunyai akses kesihatan berbanding dirinya.

Justeru dia menggalakkan mereka berjuang melawan penyakit untuk meneruskan usaha mereka itu.

"Ramai orang lebih menderita dari saya. Sekurang-kurang saya mempunyai sumber.

"Saya bersimpati dengan mereka yang terpaksa bergelut dengan sistem kesihatan," katanya.