Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Sedar diri - itu sikap pelakon Nor Albaniah apabila menceritakan tentang perkembangan semasa dirinya yang masih solo.

Kata aktres popular era 1990-an itu, ketika ini tiada mana-mana lelaki yang mendapat tempat walaupun keinginan untuk bergelar isteri sekali lagi sentiasa ada di hatinya.

“Sebenarnya kakak nak kahwin tapi kekasih pun tak ada," katanya.

Meskipun bertahun hidup menjanda, Nor Albaniah, 50, berpendapat statusnya sebagai artis bukanlah punca tidak ada lelaki yang berani mendekatinya.

Malah secara terbuka dia bersedia didekati oleh lelaki dan membuka kemungkinan untuk dijodohkan sekali lagi.

"Kalau ada yang nak himpit, himpitlah,” katanya.

Nor Albaniah ditemui pada majlis pratonton filem terbarunya, Kolong, di kompleks beli-belah di Mutiara Damansara, Petaling Jaya malam tadi.

Filem bergenre seram-misteri yang turut membariskan pelakon seperti Vanessa Angel, Luthya Suri, Wan Raja dan Annie Arifin itu dijadual menjengah pawagam di seluruh negara 17 Oktober ini.

Nor Albaniah atau nama penuhnya Nor Albaniah Raffie pernah mendirikan rumah tangga bersama Sudarman Daud pada 1993, namun suaminya itu meninggal dunia dalam kemalangan pada 1996.

Nor Albaniah turut mengalami kecederaan dalam tragedi tersebut.

Hasil perkongsian hidup bersama Sudarman, pelakon yang bakatnya mula dikenali melalui filem Adik pada 1990 dan Jeritan Batinku (1994) itu dianugerahkan seorang anak perempuan, Syarra.

Menjelaskan lebih lanjut soal jodohnya, penyandang gelaran Ratu Taiping 1988 itu berkata, memang pernah ada pemuda cuba mengenalinya namun hubungan itu tidak lebih daripada seorang kawan.

Terus bersendirian walaupun berhajat berumah tangga sekali lagi, Nor Albaniah menegaskan dia tetap berserah kepada takdir, bukannya terdesak sehingga menggunakan kaedah tertentu, seperti melalui amalan tradisional.

Pada masa sama kata Nor Albaniah sikap itu bukannya bermaksud dia tidak percaya kepada ritual seperti mandi bunga.

Katanya dia pernah bersuami dan tahu pengalaman sebagai isteri. Justeru, katanya, dia sentiasa reda dan tidak menolak kemungkinan jodoh yang diidamkan itu hadir juga pada satu hari nanti.

"Siapa tahu, mungkin pada usia 55 tahun nanti, tiba-tiba saya ditakdirkan berjodoh dengan menteri," katanya.

Lihat Komen
ADS