Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
SURAT | Serangan Zionis pada UNRWA di Sheikh Jarrah dikecam

Biro Hal Ehwal Antarabangsa PKR menyatakan kecaman paling keras terhadap tindakan rejim Zionis meroboh dan merampas pekarangan Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) di kawasan Sheikh Jarrah, Baitulmaqdis Timur yang diduduki pada 20 Januari.

Tindakan ini merupakan pencabulan nyata terhadap undang-undang antarabangsa dan norma diplomatik, serta menjadi serangan langsung ke atas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan misi kemanusiaannya. Ia melambangkan peningkatan provokasi berbahaya yang disengajakan bertujuan menghapuskan kehadiran, sejarah, dan hak rakyat Palestin secara sistematik di Baitulmaqdis.

Kami menyokong penuh kenyataan jurucakap Setiausaha Agung PBB yang menyatakan dengan jelas bahawa setiausaha agung "amat terganggu dengan perobohan tersebut" dan menegaskan bahawa "pekarangan itu berada atas tanah milik UNRWA di mana agensi tersebut menyediakan bantuan kemanusiaan yang kritikal." Pendirian PBB ini menekankan ketidaksahan tindakan tersebut yang memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang dihadapi oleh keluarga Palestin di Sheikh Jarrah dan kawasan sekitarnya.

Ini bukan kejadian terpencil. Ia adalah komponen yang dirancang dalam projek penjajahan peneroka yang berterusan melalui pengusiran dan pengilhakan, bertujuan membubarkan komuniti Palestin di bawah lindungan undang-undang diskriminasi dan kekuatan ketenteraan. Menyasarkan kemudahan PBB menunjukkan sikap tidak peduli yang melampau terhadap komuniti antarabangsa dan institusinya.

Oleh itu, Biro Antarabangsa PKR mendesak:

1. Tindakan Segera dan Konkrit oleh Majlis Keselamatan PBB untuk mempertanggungjawabkan rejim Zionis atas pelanggaran ini, memastikan pembinaan semula pekarangan tersebut, dan menjamin keselamatan semua premis PBB serta operasi kemanusiaan.

2. Sidang Tergempar Perhimpunan Agung PBB bagi menangani pencerobohan ini serta rejim apartheid dan pendudukan haram yang lebih luas.

3. Mengenakan tindakan oleh komuniti antarabangsa, termasuk sekatan dan embargo senjata ke atas rejim Zionis sehingga ia mematuhi undang-undang antarabangsa dan resolusi PBB yang berkaitan.

4. Solidariti global daripada semua negara yang komited terhadap keadilan, untuk mendesak kerajaan masing-masing bertindak tegas dalam mempertahankan hak Palestin, kesucian organisasi antarabangsa, dan aturan global berasaskan undang-undang.

Kami berdiri teguh dalam solidariti bersama rakyat Palestin dan UNRWA. Kami menegaskan semula komitmen kami terhadap perjuangan Palestin untuk kebebasan, penentuan nasib sendiri, dan hak untuk kembali. Dunia tidak boleh berdiam diri. Masa untuk tindakan tegas adalah sekarang.


MASZLEE MALIK adalah pengerusi Biro Hal Ehwal Antarabangsa PKR.

Tulisan ini diterjemah daripada bahasa Inggeris dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS