Tajul nafi sebar risalah minta undi calon bebas
Pengarah pilihanraya BN di Bukit Selambau, Datuk Tajul Urus Abd Wahab mendakwa terdapat risalah yang kononnya ditandatanganinya, mengarahkan penyokong BN supaya memberi sokongan kepada calon bebas.
"Saya tegaskan itu adalah dakyah dan fitnah yang dilakukan oleh pihak tertentu untuk memecah undi Barisan Nasional," katanya ketika menunggu ketibaan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Bukit Selambau petang ini.
"Saya tidak pernah mengisytiharkan atau menyatakan kepada mana-mana ahli (Umno dan BN) untuk memberi undi kepada calon bebas," tegasnya.
Katanya, maklumat tersebut diperolehi berdasarkan risikan dan maklum balas jentera pilihanraya BN di Bukit Selambau.
Sebelum ini timbul desas-desus yang mengatakan pihak Umno kurang turun padang dan menyerahkan kerja kempen kepada MIC.
Ia dikatakan ekoran timbul rasa tidak puashati kerana tuntutan Umno untuk meletakkan calonnya bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Bukit Selambau, tidak menjadi kenyataan.
Sebaliknya, BN telah memilih timbalan pengerusi MIC Kedah, Datuk S Ganesan untuk bertanding di situ.
Pilihanraya kecil DUN Bukit Selambau menyaksikan persaingan 15 calon termasuk 13 calon Bebas. Turut bertanding ialah calon PKR, S Manikumar.
'Mesti timbang rasa'
Sementara itu, Dr Mahathir dalam ucapannya di majlis "Sepetang Bersama Tun Dr Mahathir Mahathir Mohamad" di Institut Kemahiran Mara (IKM) di Sungai Petani, memujuk pengundi Melayu, khususnya ahli Umno supaya mengundi Ganesan esok.
Katanya, kaum Melayu harus bertimbang rasa kepada kaum Cina dan India dan mereka akan sokong Melayu.
"Apa guna merdeka sekiranya melihat negara hancur kerana berlaku rusuhan antara kaum.
"Korbanlah sedikit, di tempat lain kita dapat," kata bekas presiden Umno itu.
Walaupun kaum India bukan majoriti di Bukit Selambau tetapi, kata Dr Mahathir, kaum Melayu sanggup berkorban untuk memenangkan Ganesan dalam pilihanraya kecil kali ini.
Beliau juga menerangkan peri pentingnya kerjasama dalam BN bagi meneruskan perjuangan yang dipelopori Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock dan Tun Sambanthan membentuk Perikatan (kini BN).
Majlis tersebut dihadiri kira-kira 4,000 penyokong termasuk beberapa pemimpin Umno, antaranya, Pengerusi Umno Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil; Naib Ketua Pemuda, Datuk Razali Ibrahim serta Ganesan.

