Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata tahanan reman ke atas jurucakap Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih), Wong Chin Huat dilanjutkan untuk tujuan siasatan.

"Kita nak pastikan siapa yang mengarahnya mengeluarkan blog itu, itu yang kita nak tahu.

"Sama ada, ada tak konspirasi orang lain yang suruh dia buat begitu," kata Musa kepada pemberita di ibunegara hari ini.

Semalam dilaporkan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur membenarkan Wong ditahan reman selama tiga hari, untuk siasatan bawah Akta Hasutan.

Wong yang juga pengerusi Pakatan Penulis untuk Kebebasan Media (Wami), ditahan di rumahnya Taman Sri Sentosa, Kuala Lumpur, kelmarin.

Pensyarah kajian media di sebuah universiti tempatan itu kemudian dibawa ke Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan untuk soal siasat - kemudian dipindahkan ke suatu tempat yang tidak diketahui sejurus selepas tengah malam.

Tindakan polis itu dipercayai berkaitan dengan kempen berbaju hitam - yang dijalankan oleh Bersih - sebagai tanda membantah persidangan DUN Perak yang dianggap NGO itu "tidak mengikut perlembagaan."

Kelmarin, Bersih melancarkan kempen itu dalam satu sidang media di Kuala Lumpur.