Jawatankuasa Pemilihan PAS tidak menerima aduan berhubung dakwaan wujud ahli-ahli yang tidak berpuas hati kekalahan Mohamad Sabu dalam perebutan jawatan timbalan presiden.

"Tidak usah dengar. Jangan dengar cakap-cakap tepi jalan," kata pengerusi jawatankuasa tersebut Datuk Mustafa Ali kepada Malaysiakini .

Beliau diminta mengulas ura-ura terdapat segelintir penyokong bekas naib presiden PAS itu yang mahu membuat aduan berhubung keputusan pemilihan yang diumumkan pada hari kedua muktamar di Shah Alam, Sabtu lalu.

Para penyokong Mohamad mendakwa undi yang diperolehi oleh penceramah popular PAS itu "sepatutnya lebih" daripada keputusan yang telah diumumkan.

Dalam persaingan tiga penjuru, Nasharudin Mat Isa mengekalkan jawatannya sebagai timbalan presiden menewaskan pencabarnya, Datuk Husam Musa dan Mohamad.

Husam dan Mohamad - kedua-duanya bekas naib presiden - masing-masing mendapat sebanyak 281 dan 261 undi, manakala Nasharudin mendapat sebanyak 480 undi.

Menurut sumber-sumber, selepas Mustafa mengumumkan Mohamad kalah dalam merebut jawatan, para penyokongnya bertemu di luar stadim pada sebelah petang selepas persidangan hari kedua dan melahirkan rasa tidak puas hati mereka dengan jumlah undi.

Ketua-ketua perwakilan negeri-negeri yang ditemui sebelum pengundian petang Jumaat lalu memberikan jaminan untuk memberikan sokongan besar kepada Mohamad, melebihi jumlah undi yang diumumkan.

"Mereka suspek sesuatu. Mustahil dapat undi 200 lebih," kata sumber.

Difahamkan, Mohamad sendiri tidak akan membuat aduan berhubung pengiraan undi tersebut kerana bimbang menimbulkan masalah dalaman parti itu.