PPIM mahu info lengkap isu usahawan didiskriminasi
kemaskini 6.26pm Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) meminta aduan lengkap disampaikan kepadanya berhubung dakwaan pengusaha francais Old Town White Coffee mendiskriminasi usahawan Melayu-Islam.
Ketua Pengarah Projek PPIM, Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, pihaknya mengesa seorang pengadu isu tersebut menyerahkan maklumat lebih terperinci sebelum siasatan selanjutnya dijalankan.
"Kita tidak dapat mengesahkan sejauh mana kebenaran aduan tersebut. Kalau ada dua, tiga aduan lagi, kemungkinan ada kebenarannya (dakwaan tersebut)," katanya, mengesahkan menerima aduan itu melalui emel.
"Aduan yang ada kredibiliti supaya tidak dianggap bentuk tohmahan".
Aduan kepada PPIM itu – yang turut dimuatkan dalam forum internet di laman web Pemuda PAS Dungun, Tranungkite.net – antaranya menyatakan:
"Rakan kami telah berhubung dan berjumpa dengan pengusaha Old Town White Coffee untuk mendapatkan peluang franchisee daripada syarikat mereka dengan modal sendiri di rumah kedai yang kami miliki di lokasi strategik.
"Alangkah terkejutnya kami ialah jawapan dari pihak pengusaha francais tersebut adalah 'kami tidak beri peluang ini kepada orang Melayu Islam untuk berniaga.' "
Noor Nirwandy menambah, persatuannya hanya menerima satu aduan sahaja dan tidak boleh membuat siasatan berdasarkan maklumat tersebut yang dianggap bertaraf cakap dengar" semata-mata.
Beliau malah menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dapat melakukan siasatan mereka sekiranya menerima aduan tersebut.
"Sekiranya (beliau) mendengar khabar ini, siasat segera supaya tidak berlaku diskriminasi dalam perkara ini," katanya.
Sementara itu, pengurus pembangunan perniagaan syarikat tersebut, Kevin Kim menjelaskan bahawa tiada diskriminasi terhadap usahawan Melayu-Islam seperti didakwa.
Dihubungi Malaysiakini hari ini, beliau berkata permohonan francais baru ditolak kerana ia telah ditutup susulan sambutan memberangsangkan terhadap jenama kafeteria itu.
Maklumat tersebut boleh diperolehi di laman webnya www.oldtown.com.my .

