Majlis Tertinggi (MT) Kongres Indian Muslim Malaysia (Kimma) hari ini memutuskan sebulat suara memecat bekas pengerusi perhubungan Kimma Wilayah Persekutuan (WP) Mohd Fazil William Abdullah sebagai ahli parti tersebut.

Pengerusi Kimma, Syed Ibrahim Kader berkata keputusan tersebut, berkuatkuasa serta merta, diputuskan dalam mesyuarat selama lebih dua jam di Kuala Lumpur.

Syed Ibrahim berkata antara sebab Mohd Fazil dipecat ialah kerana tindak tanduknya yang mencemar nama baik Kimma dengan membawa masalah dalaman Kimma ke pengetahuan media.

"Sepatutnya kita boleh duduk dan berbincang perkara ini, kenapa pergi ke media, sebar perkara yang tak betul. Ini mencemarkan nama Kimma," katanya kepada Malaysiakini.

NONE Menurutnya, jika tidak puashati, Mohd Fazil boleh menulis surat untuk perhatian dan pertimbangan pihak MT.

Bagaimanapun, katanya, Mohd Fazil (foto) boleh mengemukakan rayuan untuk pertimbangan pihak parti.

Mohd Fazil sebelum ini membawa isu pelantikan pengerusi baru Kimma Wilayah Persekutuan menggantikan beliau kepada pihak media.

‘Sudah dijangka'

Syed Ibrahim pula dilaporkan berkata pelantikan timbalan pengerusi Kimma, Mohamad Mosin Abdul Razak menggantikan Mohd Fazil adalah bersifat sementara.

Syed Ibrahim berkata, tindakan tersebut adalah untuk memberi peluang kepada Mohd Fazil untuk memastikan semua 12 cawangan Kimma di WP mengadakan mesyuarat agung masing-masing.

Katanya, kesemua 12 cawangan Kimma di WP gagal mengadakan mesyuarat agung masing-masing.

"Ia bersifat sementara waktu sehingga Mohd Fazil menyelesaikan masalah tersebut, sebelum dikembalikan jawatannya.

Bagaimanapun, Mohd Fazil menafikan dakwaan bahawa cawangan Kimma di WP tidak mengadakan mesyuarat angung masing-masing.

Sebaliknya, Mohd Fazil mendakwa beliau telah dipecat kerana lantang mempersoalkan kepimpinan Syed Ibrahim.

Sementara itu, ketika dihubungi, Mohd Fazil berkata beliau telah menjangka akan dipecat daripada parti itu.

‘Pemecatan tidak sah'

"Mereka tidak ada pilihan lain, kecuali memecat saya sebagai ahli. Sebab itulah mereka buang saya," katanya.

Menurutnya lagi, beliau tidak menerima keputusan tersebut kerana Pendaftar Pertubuhan (ROS) masih menyiasat aduannya mengenai perjalanan perhimpunan agung Kimma pada 26 April lalu.

Dalam aduan kepada ROS itu, Mohd Fazil mendakwa, pihak parti tidak menghantar notis mengadakan perhimpunan agung itu dalam 28 hari dan tidak menghantar laporan tahunan dalam tempoh tujuh hari kepada para perwakilan sepertimana yang ditetapkan oleh perlembagaan parti itu.

Oleh itu, katanya, pelantikan ahli MT Kimma dalam perhimpunan agung yang lalu, juga tidak sah dan sekaligus keputusan mereka hari ini juga tidak sah.

"Kerana itu, mereka tidak boleh memecat saya...," katanya.

Berikutan itu, katanya, tidak timbul persoalan sama ada beliau akan membuat rayuan atau tidak.