Tiada lagi gugusan baru penularan wabak influenza A (H1N1) setakat hari ini selepas kejadian di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Melaka hujung minggu lalu, kata menteri kesihatan.

Enam daripada pelajar disahkan positif, sementara beberapa puluh yang lain masih dikuarantin.

NONE Satu pasukan kakitangan kesihatan dikerahkan ke institusi pengajian tersebut untuk membuat saringan terhadap pelajar UiTM untuk mengawal penularan dalam komuniti, kata Datuk Seri Liow Tiong Lai.

"Seramai 146 pelajar mengalami selesema biasa sahaja," katanya di sidang media selepas perasmian majlis tamat belajar Program Pemantauan Wabak (EIP) Malaysia di Kuala Lumpur pagi ini.

Tambahnya, 32 kes baru serangan virus disahkan, termasuk 12 jangkitan tempatan, menjadikan jumlah keseluruhan 804 kes semuanya.

Daripada jumlah tersebut, 249 kes tempatan dan 555 kes import.

Dalam sidang media yang sama, Liow yang juga naib presiden MCA berkata terdapat 31 pesakit masih di dalam wad untuk menerima rawatan lanjut manaka 77 pesakit sedang dirawat di rumah.

Sebanyak 696 pesakit atau 86 peratus telah sembuh.

"Semuanya (yang dirawat) stabil dan tidak ada yang serius," katanya.

Liow berkata, pihak kerajaan sedang berusaha untuk mendapatkan vaksin sebagai langkah untuk mencegah penularan virus tersebut.

Untuk tujuan tersebut, tambahnya, kerajaan masih dalam peringkat perbincangan dengan beberapa syarikat dari Amerika Syarikat dan benua Eropah.

"Apabila siap perbincangan, kita akan umum berapa jumlah (vaksin yang ditempah)," katanya.

Kerajaan dalam usaha menempah vaksin tersebut yang akan berada di pasaran dunia akhir tahun ini, tambahnya.

Tiada sekolah atau kelas baru ditutup, kata Liow, selain Sekolah Rendah Sulaiman 1, Kuala Terengganu yang akan dibuka semula Khamis ini.

NONE Dua kelas di dua buah sekolah ditutup masing-masing satu di Sekolah Menengah Aminuddin Baki, Kuala Lumpur dan Kelas Dua Nilam di Sekolah Kebangsaan Intan Baiduri, Gombak sehingga esok.

"Tidak ada penularan yang besar, semua terkawal," katanya sambil menambah tidak ada kematian dilaporkan setakat ini.

Sebelum itu, dalam ucapan pada majlis itu, Liow berkata, program pemantauan wabak ini bermula lanjutan daripada penilaian semula wabak virus Nipah Encephalitis.

"Dalam mengendalikan program ini, jemaah menteri pada 2002 telah bersetuju memperuntukkan RM400,000 setiap tahun untuk melatih anggota-anggota kesihatan di lapangan supaya mahir dan cekap dalam melaksanakan aktiviti kesihatan awam," katanya.

Katanya, program ini menggunakan modul latihan yang disediakan oleh Tephinet (Training in Epidemiology and Public Health Networks).

Tambahnya, lebih 42 negara menggunakan kaedah latihan yang sama yang memakai asas program Khidmat Siasatan Wabak (EIS) dari Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat.

"Tephinet merupakan rangkaian program latihan epidemiologi di lapangan yang mempunyai kurikulum yang sama, dan melalui satu konferens akan bertukar pendapat dan pengalaman secara berkala," katanya.