Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dua anggota skuad bermotor Pemuda Umno cedera di tangan dalam satu insiden dengan penyokong PAS di Bukit Indera Muda, Permatang Pasir tengahari tadi.

Naib Ketua Pemuda Umno Balik Pulau, Hisham Abd Hamid mendakwa, mereka cedera ringan terkena batu yang dibaling oleh beberapa penyokong PAS.

Beliau mendakwa, kejadian itu berlaku antara jam 12 hingga 12.30 itu ketika kumpulan 200 skuad bermotor Pemuda Umno dari Kubang Semang itu - yang berhenti di tepi jalan untuk pemeriksaan polis- dibaling batu dari arah belakang.

Ditemui Malaysiakini di tempat kejadian, Hisham berkata, anggota polis yang berada di tempat kejadian, berjaya mengawal keadaan.

Sementara itu, seorang penyokong PAS yang menjadi saksi kejadian pula berkata, hanya seorang anggota Pemuda Umno luka ringan di tangannya dalam insiden tersebut.

Beliau mendakwa, insiden itu tercetus apabila skuad bermotor Umno itu sengaja menguatkan bunyi enjin motosikal mereka, menyebabkan terjadi perang mulut antara penyokong PAS dan Umno.

Tempat kejadian itu terletak kira-kira 50 meter dari pusat pembuangan undi di Sekolah Kebangsaan Bukit Indah. Terdapat juga sebuah markaz BN berdekatan tempat itu.

Sebelum itu, pada kira-kira jam 11.03 pagi, berlaku sedikit kekecohan berdekatan bilik gerakan PAS dan BN yang terletak berhampiran sekolah Sekolah Kebangsaan Permatang Pauh.

Ketika ditanya wartawan Malaysiakini punca kejadian itu, penyokong PAS dakwa penyokong BN membuat provokasi.

Apabila Malaysiakini bertanya pula kepada penyokong BN, mereka mendakwa penyokong PAS mahu memukul penyokong mereka.

Bagaimanapun, kejadian itu dapat dileraikan oleh anggota polis yang ditempatkan di situ.

PAS juga mengarahkan penyokongnya masuk ke dalam bilik gerakan.

ADS