kemaskini 3pm Desakan meminta jawatan pengerusi BN Pulau Pinang diputuskan sebulat suara dalam sesi permukiman Umno negeri itu yang diadakan di Janda Baik, Pahang sebulan lalu.

Menurut seorang pemimpin kanan Umno negeri itu, yang enggan dikenali, sesi permukiman tersebut dihadiri oleh 299 pemimpin dari kesemua 13 bahagian, termasuk tiga sayap parti itu.

Oleh itu, tambahnya, kenyataan pengerusi perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid yang mahukan Gerakan menyerahkan jawatan tersebut kepada Umno adalah keptuusan sebulat suara umno negeri itu.

Dalam kenyataannya Sabtu lalu, Ahmad berkata permintaan itu munasabah kerana wakil Umno yang memenangi semua 11 kerusi yang dikuasai BN di Pulau Pinang dalam pilihan raya umum lepas.

Jawatan pengerusi BN Pulau Pinang tidak pernah dipegang wakil Umno sejak 35 tahun lalu dan jawatan itu kini dipegang Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Bagaimanapun dilaporkan Dr Koh enggan melepaskan jawatan tersebut kerana ia adalah jawatan itu disandang oleh Gerakan sejak lebih tiga dekad lalu.

Dalam pilihan raya umum lalu, Umno memenangi 13 kerusi termasuk dua kerusi parlimen di Pulau Pinang. Negeri itu mempunyai 40 kerusi DUN dan 13 kerusi parlimen.

Manakala semua komponen BN - Gerakan, MIC dan MCA - tewas semua kerusi yang mereka tandingi. Pulau Pinang kini ditadbir oleh kerajaan Pakatan Rakyat.

Mengulas lanjut, sumber Umno itu memberitahu Malaysiakini , keputusan agar jawatan tersebut diserahkan kepada Umno adalah salah satu usul yang dikemukakan dalam pertemuan tersebut.

Sumber itu mendakwa, selepas BN tumpas kepada Pakatan Rakyat pada 2008, Dr Koh sebagai pengerusi BN negeri tidak mengadakan mesyuarat dan mengatur gerak kerja bagi merampas Pulau Pinang.

"BN perlu menggerakkan jentera bagi merampas balik Pulau Pinang. Kalau (Dr Koh) tak mampu, lepaskan jawatan dan beri kepada orang lain, terutama kepada Umno," katanya.

Bagaimanapun, sumber itu berkata, semua pemimpin Umno di Pulau Pinang akur dengan arahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya tidak membangkitkan lagi isu tersebut.

MCA tidak senang dengan hasrat Umno itu, sementara Pemuda MIC negeri menyambut baik.