Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah menghantar surat kepada bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin  untuk meminta beliau membuat laporan rasmi berhubung dakwaannya mengenai upacara 'telan air ludah ustaz'.

Pegawai Perhubungan Awam JAIS, Nurhamizah Othman berkata surat tersebut dihantar kepada tokoh agama itu petang ini melalui pos dan faks.

Katanya, beliau difahamkan, surat tersebut dikeluarkan oleh bahagian penyelidikan dan pembangunan (R&D) JAIS.

NONE

"Setakat ini Dr Mohd Asri belum tampil (untuk membuat laporan). Kita minta jasa baik beliau berjumpa atau menghubungi pegawai kita untuk membuat laporan termasuk di mana terletak masjid (upacara itu diadakan), (dan) siapakah gerangan ustaz yang terlibat," katanya.

Setakat ini, kata Nurhamizah, JAIS juga belum menerima sebarang aduan orang ramai mengenai 'upacara' tersebut.

Isnin lalu, Dr Mohd Asri menulis dalam kolumnya di Malaysiakini bahawa upacara tersebut membabitkan seorang tokoh agama yang "bertauliah dan berjawatan" di  Selangor.

Dalam upacara tersebut, tulisnya, mereka yang menghadiri kuliah di sebuah masjid, disuruh berbaris dan 'menikmati' seorang sedikit air liur tokoh agama aliran tarekat, yang dimasukkan ke dalam mulut mereka "untuk mendapatkan keberkatan".

Ketika dihubungi Malaysiakini sebelum itu, Nurhamizah berkata, jabatan itu masih memantau isu tersebut dan telah membuka kertas siasatan walaupun menyifatkannya sebagai "kes ini terpencil".

ADS