Majlis Perundingan Melayu (MPM) akan menganjurkan kongres ekonomi bumiputera bagi mengingatkan kerajaan supaya ekonomi golongan itu diperkasakan dalam Model Ekonomi Baru (MEB).

Pengerusinya Datuk Ibrahim Ali berkata, kongres yang bertemakan "Memperkasakan Ekonomi Bumiputera" itu merupakan kemuncak kepada pelbagai program NGO Melayu berkaitan kedudukan ekonomi mereka.

"Matlamatnya untuk tokok tambah (dengan) memberi pandangan kepada kerajaan terutama aspek agenda bumiputera supaya perlaksanaan Model Ekonomi Baru menjadi cita-cita nasional dan tidak mengetepikan kepentingan oleh lain-lain kaum," katanya dalam satu sidang media di ibu negara di ibu negara.

Kongres anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM) tersebut akan berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 29 Mei ini.

Ibrahim menjelaskan kongres tersebut merupakan kesinambungan dari siri wacana, persidangan meja bulat, bengkel yang dilakukan oleh pelbagai NGO Melayu, termasuk PERKASA sendiri.

Menurutnya, ucaptama majlis itu akan disampaikankan oleh tokoh ekonomi Tan Sri Amirsyam Abdul Aziz, tambahnya.

Ibrahim turut menjelaskan kongres tersebut berlangsung selama sehari dengan melibatkan tiga sesi utama iaitu forum yang bertajuk 'Agenda Bumiputera dalam Model Ekonomi Baru (MEB).

Ia akan dibahaskan oleh empat pembentang, antaranya Senator Datuk Akhbar Ali dan pensyarah kanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Datuk Mohd Ridhuan Tee Abdullah.

Bagi sesi kedua pula, Ibrahim berkata resolusi berkaitan dasar tersebut akan dibentangkan bagi mendapatkan maklum balas, sokongan dan persetujuan daripada peserta kongres tersebut.

Ibrahim berkata penutupan majlis itu akan dihadiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menerima memorandum kongres tersebut.

"Kita akan sampaikan resolusi itu kepada perdana menteri pada malam tersebut," katanya.

Beliau menjangkakan sekitar 1,000 peserta daripada 100 NGO akan hadir mengikuti kongres tersebut. Manakala, kira-kira 3,000 orang dijangkan hadir dalam majlis penutupannya.

Mereka antaranya wakil NGO, cendiakawan Melayu, tokoh-tokoh akademik, tokoh perniagaan dan golongan profesional Melayu.