Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Kubu Bharu telah diarahkan supaya menyediakan laporan bertulis berhubung insiden melibatkan seorang guru displin yang didakwa mencaci sekumpulan pelajar sekolah itu.

Seorang pegawai di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Hulu Selangor, Mat Jah Roslan berkata, sekolah berkenaan diberi tempoh untuk menyediakan laporan itu sehingga esok bagi membolehkan pihak PPD menjalankan siasatan lanjut.

Laporan berkenaan akan disediakan oleh pengetua dan guru terbabit, katanya lagi ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

"Kita (sedang) mengenalpasti kejadian ini berpunca daripada pihak mana. Ini kerana masing-masing tidak berpuas hati. Kita perlu teliti perkara sebenar dalam konteks yang lebih jelas," kata pegawai Mat Jah lagi.

NONE Beliau sebelum itu diminta mengulas insiden yang dilaporkan berlaku Jumaat lalu, melibatkan tujuh orang pelajar sekolah berkenaan.

Dilaporkan, pelajar berkenaan pada awalanya mahu memulangkan novel kontroversi Interlok yang dijadikan buku teks bagi pelajaran mereka.

Kumpulan pelajar itu mendakwa tidak berpuas hati dengan kandungan novel tulisan sasterawan negara Datuk Abdullah Hussain itu.

Pelajar berkenaan bagaimanapun mendakwa, tindakan mereka itu dihalang oleh seorang guru sekolah berkenaan.

Guru tersebut juga didakwa telah menuduh kumpulan pelajar itu sengaja menimbulkan masalah di sekolah itu.

Guru disiplin itu juga didakwa telah mengeluarkan kata-kata yang menghina kumpulan pelajar berkenaan.

Susulan itu, tiga orang daripada kumpulan pelajar itu mendakwa telah diheret ke ibu pejabat polis Kuala Kubu Bharu dan disoal siasat selama 10 jam.

Mengulas kejadian itu, Mat Jah berkata, Jabatan Pendidikan Daerah dan Kementerian Pelajaran Malaysia juga mahu mengetahui perkara sebenar memandangkan isu berkenaan telah dilaporkan media.

"Maka sudah tentu mereka bertanyakan kepada Pejabat Pendidikan Daerah sendiri. Sebab itu kita perlu penjelasan daripada mereka yang terlibat," katanya.