Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Berbuka puasa di hotel memang menjadi satu kelaziman bagi penduduk ibu kota setiap kali menyambut kedatangan bulan Ramadan al-Mubarak.

Cuma menyediakan wang kurang RM50, pelanggan mampu untuk menyantapi hidangan yang pelbagai hidangan lauk pauk tradisional yang panas, lazat, dan mengasyikan mengikut pakej yang telah disediakan.

NONE Hotel Antarabangsa Kuala Lumpur (Klitel) yang terletak di Jalan Muda Abdul Aziz, tidak kurang hebatnya apabila menyediakan lebih 100 jenis hidangan istimewa disajikan kepada pelanggan termasuk lauk pauk tradisional dan pencuci mulut.

Bukan itu sahaja, yang menariknya, wartawan Malaysiakini - organisasi berita pertama - diberi kesempatan mencuba dan merasai 30 jenis kerabu yang dihidangkan khas di samping masakan istimewa lain seperti ayam pansuh, ayam kurma Johor, rendang tok dan pelbagi ulaman, dan lauk pauk.

Antara kerabu yang sempat dinikmati adalah kerabu isi ketam, kerabu nangka muda, kerabu suhun, kerabu kacang botal, kerabu rampai, kerabu kerang dan kerabu kaki ayam.

Hasil air tangan chef tempatan, nikmat lemak kerabu dirasai sewaktu memamahnya bersama sambal belacan, ikan sepat kering, serta budu, menambah selera kami -  yang semestinya perut keroncong sejak awal hari lagi.

NONE Manakala ayam pansuh - masakan tradisional dari Sarawak - pula yang diperap dengan rempah ratus, daun kunyit, bunga kantan, halia dan pucuk ibu di dalam buluh, mencuit selera kami, untuk menjamah atau meratahnya.

Sebelum menikmati hidangan istimewa itu, seperti biasa kami berbuka dengan buah kurma dan buah-buahan dan hidangan 'live' murtabak ayam dan daging dari resipi asli dan rojak buah.

Menikmati ikan sepat kering, nasi minyak dan kerabu kaki ayam dan sambal belacan 'memecah air liur' kami, sudah pasti melicinkan sepinggan nasi.

Seusai makan, kami dipelawa menikmati juadah lain, tetapi apakan daya, perut penuh dan sengkak. Kami hanya mampu menyandar.

Kami hanya mampu mengatakan "tidak" sahaja, sambil menghirup  secawan kopi pekat tanda akhirnya berbuka pada hari pertama puasa bagi tahun ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS