'Umno pun ada dokumen rahsia pembangkang'

       

Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata partinya akan menyiasat berhubung dakwaan kebocoran maklumat kesiapsiagaan BN bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Tegasnya, beliau juga telah menulis surat kepada semua 13 anggota parti komponen BN supaya lebih berhati-hati daripada berlaku kebocoran maklumat sekalipun pihaknya mempunyai sistem kod untuk menjejaki dokumen itu seperti yang didedahkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

"Saya hendak dapatkan dokumen yang ada pada Lim Guan Eng, sapaya saya tahu siapa yang beri kepada beliau.

"Daripada dokumen itu sendiri, orang menerima dokumen itu, tidak tahu coding di mana... Barang kali dia (pemimpin BN) letak merata-rata... Dalam pejabat rambut sama hitam, hati lain-lain.

"Untuk makluman kita pun dapat dokumen daripada pembangkang. Tapi kita tak buat bising. Tak macam mereka, mereka buat bising. Apa yang dia ada, dia akan cerita. Kita pun tahu apa yang mereka laksanakan. Kita diam. Kita ada tiap-tiap dokumen mereka. Kita tahu tiap-tiap calon dia," katanya.

Sekalipun mempersoalkan tahap masa tertentu maklumat kesiapsiagaan yang dibocorkan, Tengku Adnan berkata pihaknya menulis surat kepada 13 komponen parti sebagai "peringatan dan tindakan berhati-hati" kepada mereka.

Tengku Adnan menjawab soalan pemberita berhubung dakwaan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sebelum ini bahawa beliau memperoleh dokumen rahsia berhubung persiapan BN di Pulau Pinang.

Malaysiakini
terkini untuk anda