MP Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar berkata beliau hari ini mengusulkan satu Rang Undang-undang Ahli Persendirian bagi memansuhkan Akta Hasutan 1948.

Katanya, langkah berkenaan sebagai susulan kepada pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk memansuhkan akta tersebut tahun lalu.

Beliau berharap agar Rang Undang-undang Hasutan (Pemansuhan) 2013 itu akan dapat menamatkan era penyalahgunaan akta hasutan sekaligus usaha melaksanakan islah dan reformasi tulen di Malaysia.

Naib presiden PKR itu berkata usul berkenaan berkenaan telah dihantar ke pejabat setiausaha Dewan Rakyat semalam.

Beliau mendakwa Najib Tun Razak tidak mampu memansuhkan Akta Hasutan tersebut, selepas perdana menteri itu berjanji untuk berbuat demikian pada 11 Julai 2012.

"Malangnya umum masih ternanti-nanti pelaksanaan kata-kata Datuk Seri Najib, malah terkedu dengan tindakan undang-undang ke atas aktivis serta ahli politik pakatan rakyat.

"Umum pasti bertanya, mengapa pihak kerajaan belum menepati janji untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948?," soalnya.

Katanya lagi, walau tanpa Akta Hasutan, undang-undang lain yang sedia ada memadai untuk menangani perkara yang memudaratkan masyarakat.

Beliau berkata demikian dengan membangkitkan tindakan kerajaan ke atas pemimpin politik Pakatan termasuk Tian Chua dan Datuk Husam Musa pada bulan lalu, yang menurutnya ditahan dan didakwa secara terpilih mengikut Akta Hasutan.

Sebaliknya, kerajaan tidak mengenakan tindakan ke atas individu yang didakwa meniup api kebencian, seperi bekas hakim kanan Datuk Mohd Noor Abdullah, pemimpin PERKASA Datuk Ibrahim Ali dan juga akhbar Utusan Malaysia, dakwanya.

Hal demikian, kata anak sulung ketua umum PKR itu, "hanya mendedahkan hipokrasi pentadbiran Najib".

Sungguhpun begitu, Nurul Izzah berkata beliau pasti perdana menteri akan bertindak untuk memastikan Rang Undang-undang Hasutan (Pemansuhan) 2013 itu diberi laluan perbahasan di parlimen dan seterusnya dipersetujui MP BN.

"Mandat popular 47 peratus BN mengharuskan Datuk Seri Najib meneliti permintaan Pakatan yang mewakili 51 peratus mandat popular rakyat Malaysia, apatah lagi bila menyahut pelaksanaan janji beliau sendiri," katanya.