Menteri di Jabatan Perdana Menteri Paul Low, berkata jabatan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat Bumiputera swasta yang bertanggungjawab berdasarkan kepentingan mereka sewaktu menyiarkan iklan di Utusan Malaysia dan bukannya perdana menteri.

Menurut Paul, cadangan Najib yang mahu pihak itu menyiarkan lebih banyak iklan dalam akhbar Umno itu hanya "satu harapan".

NONE "PM hanya berkata beliau berharap. Tetapi (terserah) pada syarikatlah untuk membuat keputusan berdasarkan apa yang sesuai berdasarkan kepada kepentingan syarikat," katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur pagi ini.

"Beliau tidak bertanggungjawab. Tetapi syarikatlah yang menanggungnya sekiranya kewangan tidak dibelanja dengan baik."

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan pemberita ekoran desakan pembangkang yang mahu beliau bertegas dengan kenyataan Najib yang meminta pihak terbabit beriklan di Utusan .

MP Petaling Jaya Utara Tony Pua mendakwa sejak Paul dilantik menjadi menteri kabinet, bekas pengerusi Transparency International Malaysia tidak sepatutnya dilihat sekadar "muslihat untuk menutup mata" dalam melakukan pembaharuan dalam kerajaan.

Sementara itu, Bernama melaporkan kerajaan akan mengambil langkah untuk menghapuskan kehadiran orang tengah dalam perniagaan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan.

Beliau berkata kehadiran orang tengah menaikkan kos menjalankan perniagaan, kerana mereka mengambil komisen tanpa menambah nilai kepada perniagaan.

"Ia adalah satu contoh rasuah yang amat dibimbangkan oleh kerajaan," katanya kepada pemberita selepas membuka Persidangan Kebangsaan Audit Dalaman di Kuala Lumpur hari ini.

Low berkata sungguhpun isu itu adalah kompleks, kerajaan akan melihat semula isu itu untuk memastikan perniagaan berjalan secara telus.

"Kerajaan akan melihat secara menyeluruh tentang isu itu dan bertindak mengikut peraturan dan kriteria.

"Rasuah diamalkan dalam hampir semua bidang di Malaysia. Sektor pembangunan akan menjadi sektor pertama yang akan diberi perhatian oleh kerajaan.

"Ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan pemantauan untuk projek mega.

"Projek terpilih bernilai lebih RM500 juta dan dianggap sebagai berisiko tinggi dalam terma tadbir urus akan dipantau oleh kumpulan penyelia yang terdiri daripada wakil termasuk Suruhanjaya Anti Rasuah Malaysia dan Ketua Juruaudit Negara.

"Selepas itu, kami akan melihat sektor kesihatan dan majlis bandaran," katanya.