MP: Gantung TPPA hingga isu intipan AS selesai
Respons kerajaan terhadap pendedahan bahawa Amerika Syarikat (AS) dan Australia menggunakan misi diplomatik masing-masing untuk aktiviti pengintipan dianggap "terlalu kecut" oleh anggota parlimen pembangkang.
Charles Santiago (DAP-Klang) berkata, langkah itu bertentangan sama sekali dengan negara-negara lain yang berdepan masalah sama.
Katanya, bukan sahaja menghantar nota bantahan, tetapi kerajaan juga patut mengikuti langkah Kesatuan Eropah (EU) yang menghentikan serta merta rundingan Perjanjian Kerjasama Trans-Pacific (TPPA) dengan kedua-dua negara itu.
Menurut Charles lagi, pemimpin EU juga merancang menghentikan serta merta Perjanjian Kerjasama Transatlantic dengan AS ekoran dakwaan bahawa telefon Canselor Jerman Angela Merkel dipintas.
Parlimen Eropah juga mengundi untuk membekukan akses AS kepada jaringan perbankan mereka.
"Mengikut kebiasaan, kita tidak berurusan dengan musuh. Kita mesti cerdik," katanya di lobi Parlimen hari ini.
Malaysia semalam dilapor menghantar nota bantahan kepada pejabat Kedutaan AS dan Suruhanjaya Tinggi Australia di Putrajaya berhubung dakwaan pengintipan dilakukan di negara ini.

