Kamaruzaman mahu terokai peluang baru PAS
Calon ketua Pemuda PAS Kamaruzaman Mohamad berkata beliau mahu terus meneroka ruang dan peluang baru serta menguasai isu dan keperluan anak muda masa kini secara kolektif jika terpilih memegang jawatan itu.
Katanya, demografi dan tuntutan golongan muda hari ini mahu Pemuda PAS lebih ke hadapan dengan membawa gagasan Pemuda kepada kumpulan sasarnya melalui saluran baru yang disukai mereka termasuk Instagram dan Twitter.
"Apa yang dibuat oleh (penyandang) Ustaz Nasrudin (Hassan) cukup baik meliputi segenap ruang (golongan muda) termasuk sukan, artis, hiburan fotografi dan sukan bermoto.
"Masih ada ruang lain dengan menggunakan saluran baru dan sangat popular khususnya melalui Instagram dan Twitter. Kita akan kaji platform ini untuk mengajak mereka bersama-sama (kita)," katanya ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini.
Dalam kenyataannya, Kamaruzaman menggariskan visi dan misinya antaranya lain mahu meneruskan legasi, warisan atau tradisi Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) yang diasas dan ditinggalkan oleh kepimpinan terdahulu.
Selain itu, beliau mahu mempertahankan ketulenan dan keabsahan kaedah perjuangan Islam yang didokong oleh parti dengan bersama-sama profesional muda, ulama muda dan aktivis muda tanpa menolak perlunya agenda tajdid dan islah.
Kamaruzaman juga berkata beliau menerima pencalonan untuk bertanding jawatan itu sebagai menghormati hasrat akar umbi kawasan dan mengisi kekosongan kerusi selepas pengunduran Nasrudin.
"Saya menerima atas semangat fastabiqul khairat, iaitu berlumba-lumba untuk memberi sumbangan kepada DPPM. Saya tidak bertanding dan mencabar sesiapa.
"Jika saya dipilih maka saya wajib memikul amanah kepimpinan ini sebaik mungkin menepati piawaian kepimpinan Islam,"katanya
Kamaruzaman berkata sekiranya beliau tidak terpilih ke jawatan tersebut, beliau akan terus perjuangan bersama PAS yang disertainya sejak 1997.
Pencalonan cukup signifikan
Ditanya peluangnya untuk memenangi jawatan itu, Kamaruzaman berkata kemenangan atau kekalahan bukan matlamatnya ketika beliau membuat keputusan menerima pencalonan itu.
"Saya mendapat pencalonan kawasan yang cukup signifikan... Saya yakin perwakilan sudah bijak membuat pilihan.
"Saya menawarkan (diri) bukan sasarkan kemenangan. Kalau Suhaizan atau Zulhazmi, yang terbaik untuk Islam, maka jadilah ketuanya," katanya.
Sementara itu, calon Ketua Pemuda Suhaizan Kaiat menggariskan lima agendanya selepas menawarkan diri bertanding jawatan nombor satu dalam sayap PAS itu pada pemilihan parti 21 November ini.
Agenda itu ialah Pemuda PAS perlu mendepani isu rakyat dengan lebih berkesan, menjadikan sayap itu kumpulan yang inklusif supaya mudah didekati golongan muda dan menjadi semak dan imbang dalam di negeri yang pernah ditadbir PAS .
"Selain itu kita, memposisikan Pemuda berdasarkan bakat dan diberikan (tugas) kepada yang selayaknya dan memperkukuhkan tarbiyah di kalangan pendokong Pemuda PAS," katanya ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.
Sekiranya beliau terpilih, Suhaizan akan mendekati semua kelompok anak muda untuk mengetahui kehendak kumpulan itu pada waktu ini sebelum memperincikannya dari segenap sudut termasuk kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman.
"Selepas itu kita akan merancang aktiviti yang bersesuaian sebelum dilaksanakan dan membuat bedah selidik (selepas itu).
"Kita akan turun untuk mendapatkan maklumat (kehendak golongan muda) memerlukan sekurang-kurangnya dua bulan," katanya sambil menasihatkan perwakilan serius memilih pemimpin mereka yang selayaknya.
Persaingan ketua Pemuda menyaksikan pesaingan tiga penjuru melibatkan Kamaruzaman, Suhaizan dan peguam Zulhazmi Shariff.

