MP dakwa kontraktor sama bina 2 masjid runtuh
Kontraktor yang membina masjid di Terengganu yang dilapor bumbungnya runtuh pada 2009 didakwa membina sebuah masjid lagi di negeri pantai timur itu, turut berdepan insiden yang sama, dakwa MP Kuala Terengganu.
Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad mendakwa kontraktor yang membina Masjid Kampung Tebauk di Kuala Terengganu telah membina Masjid Batu Puteh di Kemaman, dan bumbung masjidnya dilapor runtuh pada 2009.
Menyifatkan ia sebagai "menakutkan" seorang arkitek yang berpengalaman itu berkata beliau difahamkan kontraktor tersebut terlibat dengan "beberapa lagi projek" dan tidak disenaraihitamkan seperti yang didakwa oleh kerajaan dalam jawapan di Parlimen.
"(Saya) difahamkan dia juga buat beberapa lagi projek setakat ini belum runtuh lagi tak tahu akan datang, ke apa. Ini menakutkan... Belum bermasalah, wallahua'lam mungkin berlaku, mungkin tidak tapi risiko ada sebab prestasi tak bagus.
"Hari ini orang buat lawak, kalau pergi Terengganu nak sembahyang dalam masjid, jangan pakai kopiah lembik tapi (pakai) besi keras. Sick joke but a joke ," katanya sambil menambah setiap kali berlaku insiden itu tiada pengajaran diambil.

