Perwakilan Perlis, Ramli Shariff mahu Kementerian Dalam Negeri mengambil tindakan tegas dengan memperluaskan Ops Cantas terhadap Gabungan NGO Comango yang memperjuang hak kebebasan beragama dan Lesbian, Biseksual, Gay dan Trangender (LGBT) ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Membahaskan usul agama dan pendidikan dalam Perhimpunan Agung Umno, Ramli mendakwa kumpulan itu didakwanya mewakili Malaysia sewaktu mengemukakan tuntutan "songsang" sedangkan, tegasnya, kerajaan tidak pernah memberi mandat kepada mereka berbuat demikian.

Comango terdiri daripada gabungan 54 NGO hak asasi dan Ops Cantas diperkenalkan untuk membanteras jenayah di negara ini.

"Siapa yang beri (mereka) mandat. Hanya 12 sahaja NGO yang berdaftar, bakinya statusnya haram.

"Perlis mencadangkan operasi 'Ops Cantas' diperluaskan kepada kumpulan ini. Kalau perlu cantas, cantaslah... Ini kepakaran naib presiden untuk mencantas," katanya sambil merujuk ucapannya itu kepada Naib Presiden Umno, Datuk Seri Zahid Hamidi.

Beliau mendakwa pembangkang menghantar kumpulan tersebut ke badan dunia itu untuk menjahanamkan Malaysia.

Sebaliknya, beliau memuji tindakan kerajaan yang ditunjangi Umno menghantar komando ke Lahad Datu untuk menghapuskan musuh negara.

Ramli berkata tuntutan yang dibawa oleh gabungan NGO itu bertentangan dengan perlembagaan dan keperluan rakyat Malaysia.

"Keperluan rakyat kita tidak sama dengan (negara) lain. Mana mungkin kita menerimanya (sebagai) 'universal standard'.

"Saya rasa agama lain tidak boleh menerima ajaran songsang... Tidak boleh menerima secara total," katanya.

Sebelum itu, Perwakilan Kelantan Ahmad Termizi Musa menyeru parti supaya membuka pintu untuk menarik para alim ulama, guru pondok, mubaligh dan pendokong Islam berada dalam semua peringkat kepimpinan bagi memperkasakan parti.

"Jangan menutup pintu kepada pendokong agama untuk menyertai parti kita. Tranformasi yang dibawa oleh perdana menteri telah menggusarkan pihak sebelah sana.

"Mereka bimbang, takut kalah dan ditolak rakyat (dalam pilihan raya)," katanya.

"Umno lawan PAS bukan kerana nama, warna, kebencian dan dendam, tetapi berlawan dengan PAS kerana jihad untuk menyelamatkan umat dan menegakkan syariah Ahli Sunnah Wal Jamaah," katanya.

Membahas usul berkaitan pendidikan, Ahmad Termizi mencadangkan kepada Kementerian Pendidikan supaya memperbanyakkan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) di negeri itu ekoran permintaan yang meningkat.

Menurutnya kekurangan kokosongan untuk menampung lebih 5,000 permohonan, menyebabkan ibu bapa menghantar anak mereka ke sekolah menengah agama (SMA) di bawah kerajaan negeri.

Setakat ini terdapat enam SMKA di Kelantan dan dicadangkan ditambah menjadi 14 lagi.

"Kita amat bimbang sekolah menengah agama negeri, pelajar ditarbiyah, dididik, diasuh dan ditanam nilai untuk kepentingan mereka.

"Sebab itu mereka boleh kekal 23 tahun," katanya sambil mendakwa terdapat pelajar SMA yang melakukan aktiviti kepartian melibat PAS di negeri itu.