'Pemimpin lama bahagian mesti berani berundur'
Bagi merealisasikan agenda tranformasi Umno yang dilaungkan Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak, Setiausaha Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Syed Ali Syed Abbas Alhabshee menggesa pemimpin parti setiap peringkat berani berubah demi menjaga kepercayaan rakyat kepada parti itu.
Beliau menasihatkan pemimpin "yang selesa duduk dan tidak mahu tinggalkan jawatan parti" di peringkat bahagian supaya berundur, daripada berpeluk tubuh tanpa memikir dan menyuarakan pandangan demi kebaikan parti dan agenda tranformasi itu.
"Semua orang patut menyuarakan idea. Perlu kreatif untuk bantu parti (jadi) kuat. Bukan duduk diam tanpa buat apa-apa. Semua orang perlu bersuara kepada parti. Kena bercakap, tak betul kena bercakap, kena bagi pandangan.
"Sekarang ni banyak kenyataan (dan) desakan pembangkang terhadap kerajaan. Berapa (ramaikah) pemimpin bahagian keluar bercakap, nak bagi pandangan (dan) teguran. Kita kena berani untuk berubah.
"Kita tak boleh terus duduk diam dan mengatakan ia tiada kena mengena dengan kita, biar orang lain bercakap," katanya yang juga ketua Umno bahagian Cheras dalam wawancara dengan Malaysiakini pada Isnin.
Walaupun optimis dengan sokongan rakyat dan masa depan parti itu, Syed Ali turut menggesa pemimpin Umno supaya menangkis pelbagai tohmahan pembangkang sekalipun BN banyak menabur jasa sejak memerintah negara, demi kestabilan politik negara.
Beliau yang mengetuai bahagian itu sejak 1998 menjawab soalan mengenai perubahan, hala tuju dan masa depan Umno bagi menghadapi pilihan raya umum yang akan datang.
Oleh itu, bagi membuktikan kata-katanya, Syed Ali - yang menang tanpa bertanding setiap kali pemilihan parti sejak 1998 - menyuarakan hasratnya untuk mengundur diri sebagai ketua bahagian selepas tamat tempoh jawatan tersebut pada 2016 bagi memberi laluan kepada muka baru.
Sehubungan itu, Syed Ali mahu kepimpinan Umno bahagiannya bersedia memikul kesinambungan tanggungjawab dan amanah itu apabila beliau berundur nanti.
Lemahkan parti
"Saya tak mahu duduk selama-lamanya. Saya sudah 16 tahun jadi ketua bahagian," katanya sambil menambah, beliau berharap ada pemimpin baru yang akan menggantinya pada 2016.
"Tetapi sesetengah ketua bahagian mahu memegang jawatan bertahun-tahun lamanya. Dia tak mahu berubah dan tak buat apa-apa. Biarkan macam tu sahaja.
"Ini yang melemahkan parti. Mereka perlu jujur, ikhlas pada diri, sebab tu saya mahu jadi contoh, walaupun saya buat kerja saya," katanya yang juga pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras.
Diminta mengulas tindakan MCA dan Gerakan sejak kebelakangan ini yang dilihat "kritikal" terhadap Umno dalam isu tertentu, Syed Ali berkata, kritikan atas semangat komponen BN dibenarkan dan ia boleh disalurkan melalui mesyuarat di peringat negeri atau pusat.
Beliau yang juga setiausaha BN Wilayah Persekutuan menasihatkan kedua-dua parti itu supaya tidak menunjuk-nunjuk untuk menjadi juara kepada rakyat bahawa mereka boleh kritik macam-macam.
"Tiada masalah mereka nak kritik, mereka boleh kritik tapi ingatlah kita dalam BN. Kita komponen parti jika anda fikir ia tidak betul, jangan bunuh sesama sendiri di hadapan umum," katanya.
Beliau sebaliknya menggesa kedua-dua parti itu kerap turun dan bekerja keras demi mengembalikan semula keyakinan rakyat kepada BN, khususnya masyarakat Cina di Cheras.
"Kita dah duduk bersama dari zaman Tun Tan Cheng Lock, Melayu perlukan Cina, Cina perlukan Melayu. Kita kena bekerjasama bila kita berpecah kita boleh tengok apa berlaku sekarang.
"Kamu boleh lihat kita mencurigai antara satu sama lain, ini yang saya nampak. Cina, Melayu dan India kena bersatu membina negara ini," katanya.

