Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Gunung Semanggol di Kerian, Perak, menyimpan sejarah perjuangan radikal Islam terawal di Malaysia.

Pada Mac 1948 Hizbul Muslimin atau Parti Orang Muslimin Malaya ditubuhkan oleh seorang guru pondok Abu Bakar al-Baqir dengan seruan antipenjajah British.

Digelar “suara dari gunung”, Hizbul Muslimin menakutkan penjajah sehingga parti Islam pertama ditubuhkan itu menjadi parti Islam pertama diharamkan di Malaya.

Ketika Hizbul Muslimin ditubuhkan, tokoh ulama PAS Ahmad Awang berumur 12 tahun.

Kini, di usia emas 79 tahun, Ahmad disebut-sebut sebagai alternatif terbaik untuk membawa suara radikal dalam kepimpinan PAS yang diterajui Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ahmad dan Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa kini layak mencabar Hadi setelah melepasi pencalonan minimum daripada dua kawasan PAS.

Walaupun Hadi, tokoh ulama popular, progresif dan berwibawa 30 tahun lalu, keadaan kini dilihat berbeza apabila hari demi hari menyaksikan beliau membawa PAS makin jauh daripada Pakatan Rakyat dan Putrajaya.

Bagi PAS, walaupun tidak bertulis, hampir semua pihak mengakui sukar untuk memimpin parti itu tanpa peribadi pendidikan agama.

Pertarungan lulusan Mesir

Idea kepimpinan ulama yang terlalu sebati dengan PAS mungkin menyebabkan Hadi tidak pernah dicabar selama 13 tahun, sejak mengambil alih jawatan itu daripada allahyarham Fadzil Noor pada 2002.

Personaliti, selain kekananan dalam parti dan kemampuan politik, sentiasa menjadi faktor diambil kira perwakilan bagi memilih pemimpin mereka bagi tempoh dua tahun lagi.

Walaupun suara tidak puas hati pada pentadbiran Hadi sentiasa ada, tetapi ia jarang datang daripada golongan ulama sendiri, yang berada dalam kedudukan layak mencabarnya.

Justeru, bagi penyokong Ahmad, beliau berada di landasan tepat untuk membuat comeback ke arena politik PAS setelah tidak mempertahankan jawatan naib presiden beberapa tahun lalu.

Tetapi adakah beliau mempunyai kekuatan peribadi untuk menggalas tugas itu?

Di dunia Islam, Hadi ialah tokoh nombor dua selepas Dr Yusof Al-Qaradawi yang memimpin Kesatuan Ulama Sedunia.

Dari sudut karismatik, pengaruh populariti, dan keilmuan dalam pengetahuan Islam, sudah cukup bagi anggota Parlimen Marang itu mengatasi pencabarnya.

Seperti Hadi, Ahmad juga berkelulusan lulusan Al-Azhar Mesir, universiti tertua dalam dunia Islam, dalam bidang perundangan Islam.

Husam? Mungkin tidak

Ahmad pernah terlibat dengan pentadbiran kerajaan persekutuan pada tahun 1974 di Pusat Islam dan memimpin Persatuan Ulama Malaysia (PUM) sebagai presiden selama 17 tahun.

Selepas bersara daripada kerajaan pada 1991, Ahmad banyak terlibat dengan kerja-kerja dakwah dan pendidikan melalui pelbagai pertubuhan dan NGO, termasuk menguruskan sendiri pusat pendidikan dan pengajian Islam di Perak.

Aktif dalam PAS pada 1999, beliau diberi kepercayaan menjadi calon PAS pada pilihan raya umum ke-10 dan ke-11 dan dilantik menjadi pesuruhjaya PAS Perak selama empat penggal dan menyaksikan jatuhnya kerajaan BN di Perak pada 2008.

Dalam tempoh itu, kepimpinannya menonjol apabila tegas menolak idea kerajaan campuran dengan Umno yang menyaksikan mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria turut memainkan peranan aktif.

Ketegasannya menolak kerjasama dengan Umno juga dinyatakan dalam muktamar yang terakhir disertainya sebagai naib presiden pada 2009.

Beliau juga mencuri tumpuan media apabila mengadakan solat hajat tujuh hari tujuh malam supaya Allah memberikan balasan setimpal kepada Mohsin Fadzli Samsuri yang keluar parti.

Ketika Mohsin bertanding, Ahmad memainkan peranan penting memastikan kemenangan calon PKR itu.

Justeru, bagi penyokong Ahmad, mereka tidak nampak kenapa Ahmad “tidak cukup ulama” untuk menggantikan Hadi yang mula dipertikaikan anggota PAS dan rakan Pakatan Rakyat.

Sementara itu, Husam pula, walaupun dilihat mempunyai kualiti kepimpinan dan kepintaran politik, beliau masih dibelenggu label “profesional” walaupun PAS pernah mengetengahkan idea “mengulamakan profesional dan memprofesionalkan ulama”.

Tetapi perkara itu tidak pelik, memandangkan sudah 33 tahun pengikut parti itu diasuh untuk wala' (setia) terhadap pemimpinnya tanpa soal.

Husam bagaimanapun turut mempunyai latar penuh warna-warni apabila daripada seorang graduan ekonomi, menjadi wartawan Harakah, kepada setiausaha politik kepada pemimpin legenda PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Soalnya sekarang, perwakilan PAS inginkan tokoh yang bagaimana? Mereka mahu bayu ombak dari Marang atau suara radikal dari gunung Semanggol?

Teki-teka itu hanya mampu dijawab oleh lebih 1,000 perwakilan daripada 191 kawasan yang bakal membuat perhitungan pada muktamar Jun ini.

Lihat Komen
ADS