Hak asasi manusia di M'sia 'merosot dengan ketara'
Situasi hak asasi manusia di Malaysia "merosot dengan ketara" sepanjang tahun lalu, demikian menurut Laporan Human Rights Watch (HRW) 2017.
Menurutnya, kemerosotan dalam perlindungan hak bermula selepas pilihan raya 2013 dan meningkat pada tahun lepas apabila bilangan soalan yang sukar meningkat mengenai dakwaan penglibatan Datuk Seri Najib Razak dalam skandal 1MDB.
Timbalan Pengarah HRW bagi wilayah Asia, Phil Robertson berkata, dengan tindakan mendakwa mereka yang menyuarakan pandangan berbeza atau membantah secara aman, maka kerajaan telah dengan serius melemahkan institusi demokrasi dan hak-hak semua rakyat Malaysia,
Laporan setebal 687 halaman itu yang menyemak amalan hak asasi manusia di lebih 90 buah negara, dikeluarkan malam tadi.
Menurut laporan itu, di tengah-tengah kemerosotan hak asasi manusia di Malaysia, mereka yang mengkritik kerajaan perdana menteri Najib atau pengendalian skandal 1MDB telah "menjadi sasaran khusus".
'Tuduhan bermotif politik'
Ia juga berkata sekurang-kurangnya sedozen pendakwaan jenayah terhadap posting media sosial yang didakwa menghina kerabat diraja Johor, termasuk kes Amirul Azwan Mohammad Shakri, yang dijatuhi hukuman penjara setahun selepas mengaku bersalah terhadap 14 pertuduhan menghina Sultan Johor di Facebook.
Menurutnya, aktivis Khalid Ismath juga dikenakan 11 tuduhan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA) dan tiga tuduhan di bawah Akta Hasutan 1948 kerana komen di Facebook menyokong Kamal Hisham Jaafar, bekas penasihat undang-undang kepada kerabat diraja Johor.
Antara pendakwaan lain yang disifatkannya sebagai "bermotifkan politik" termasuk:
- Naib ketua Pemuda Parti Amanah Negara, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar yang dijatuhi hukuman penjara lapan bulan di bawah Akta Hasutan 1948 kerana menggesa kebebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim;
- Aktivis Haris Ibrahim yang dijatuhi hukuman penjara lapan bulan di bawah Akta Hasutan 1948 kerana ucapan mencabar keputusan pilihan raya umum ke-13;
- Artis grafik Fahmi Reza didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana menyiarkan dalam talian imej wajah badut perdana menteri; dan
- Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dijatuhi hukuman penjara 18 bulan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 kerana mendedahkan bahagian laporan Audit Negara mengenai 1MDB.
Penapisan Internet
Laporan itu juga menyatakan peningkatan penapisan internet di negara ini, termasuk menyekat Sarawak Report, Medium, Malaysia Chronicle, Asia Sentinel dan sekurang-kurangnya empat blog politik.
Ini selain daripada menyekat portal berita The Malaysian Insider selepas ia menerbitkan satu laporan mengenai dakwaan rasuah yang mengaitkan perdana menteri.
Menurut laporan itu, pihak berkuasa terus secara rutin menangkap, memanggil untuk soal siasat atau mendakwa mereka yang menganjurkan perhimpunan jalanan seperti perhimpunan "TangkapMO1".
Tambahnya, selain meluluskan Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 yang memberi perdana menteri kuasa berkaitan keselamatan, penahanan tanpa bicara juga diteruskan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959, Akta Pencegahan Keganasan 2015 dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

