Seorang ahli perniagaan dengan gelaran Tan Sri yang ditahan bagi membantu siasatan kes cubaan merasuah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dibebaskan hari ini dengan wang jaminan RM50,000.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Abd Rahman membebaskan lelaki berusia 54 tahun itu dengan wang jaminan berserta seorang penjamin.

Beliau sebelum ini dikenakan tahanan reman lapan hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi siasatan mengikut Seksyen 16, Akta SPRM kerana salah guna kuasa dengan meminta dan menerima rasuah untuk kepentingan peribadi.

Pada 30 Mac lalu, ahli perniagaan itu diminta menyerah diri kepada SPRM selepas Sultan Ibrahim mendedahkan terdapat seorang individu cuba merasuah baginda dengan menawarkan RM2 juta bagi mencadangkan nama kepada Ketua Setiausaha Negara bagi mendapatkan gelaran Tan Sri daripada Yang di-Pertuan Agong.

Susulan itu, pada 25 Mac lalu menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook, baginda bertitah supaya SPRM mengadap baginda segera supaya perkara terbabit dapat disiasat.

Sebelum ini, suspek itu direman lima hari bermula Jumaat lalu dan disambung selama tiga hari lagi pada 4 April lalu dan berakhir hari ini.

Khamis minggu lalu, lelaki itu menyerah diri kepada SPRM selepas beberapa jam diarahkan berbuat demikian oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki.