Paling Popular
Terkini

Polis telah mengarahkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim untuk merakamkan kenyataannya di Bukit Aman, Kuala Lumpur, pagi esok.

Apabila dihubungi, Zaid berkata, beliau percaya bahawa siasatan berkenaan berkaitan dengan tweet yang disiarkannya pada 5 Disember lalu ketika mengulas laporan berita berhubung titah sultan Selangor.

Beliau bagaimanapun berkata pihak polis tidak memberitahunya berhubung peruntukan undang-undang akan digunakan semasa siasatan.

"Tidak, saya tidak tahu (peruntukan undang-undang), saya hanya mendapat mesej (untuk saya) pergi ke sana, tidak ada masalah, saya akan pergi dan menjawab soalan," kata ahli DAP itu.

"Saya rasa polis terpaksa menyiasat kerana ramai yang membuat aduan dan ini telah menjadi isu awam," katanya.

"Polis perlu siasat sama ada saya melanggar sebarang undang-undang, jadi mereka perlu mendengar penjelasan saya," katanya.

Zaid terus mempertahankan dirinya tidak melakukan sebarang kesalahan dan tidak ada unsur hasutan dalam tweetnya.

Dalam temu bual dengan akhbar The Star yang disiarkan pada 5 Disember lalu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertititah "kemarahan" bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu  bakal “membakar” negara ini.

Baginda juga menganggap Mahathir sebagai seorang tidak mahu penggantinya mengatasi legasinya serta mempunyai"kebencian yang mendalam".

Zaid pada hari yang sama menulis di media sosial bahawa sultan Selangor itu seharusnya berhati-hati dengan kenyataannya dan bahawa tiada siapa yang kebal apabila negara ini terbakar.

Susulan itu, beberapa pemimpin Umno tampil membidas Zaid tetapi bekas menteri itu berkeras bahawa beliau tidak melakukan sebarang kesalahan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun bagaimanapun mengesahkan bahawa Zaid sedang disiasat di bawah Akta Hasutan dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

Lihat Komen
ADS