Naib Pengerusi DAP, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji mengingatkan semua pihak khususnya pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) supaya tidak terjerumus dalam perangkap Umno yang didakwa galak mengapi-apikan lagi hubungan pembangkang dengan pihak istana.

Keadaan itu katanya, hanya akan memberi keuntungan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan BN.

Mengambil contoh status twitter anggota DAP Datuk Zaid Ibrahim yang didakwa mempersoalkan titah Sultan Selangor, Tengku Zulpuri Shah berkata tindakan itu hanya bertujuan mengalih perhatian rakyat daripada penyelewengan 1MDB.

“Isu yang terus dimainkan ini umpama sengaja mencurah minyak ke dalam api.

“Ia tak lebih daripada untuk mengalihkan isu malapetaka 1MDB dan kesusahan kehidupan rakyat akibat GST, ketidaktentuan harga minyak, kenaikan harga barang serta kejatuhan nilai ringgit,” katanya yang dipetik portal Roketkini.

Dalam temu bual dengan akhbar The Star yang disiarkan pada 5 Disember lalu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertititah "kemarahan" bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bakal “membakar” negara ini.

Baginda juga menganggap Mahathir sebagai seorang tidak mahu penggantinya mengatasi legasinya serta mempunyai"kebencian yang mendalam".

Zaid pada hari yang sama menulis di media sosial bahawa sultan Selangor itu seharusnya berhati-hati dengan kenyataannya dan bahawa tiada siapa yang kebal apabila negara ini terbakar.

Susulan itu, beberapa pemimpin Umno tampil membidas Zaid tetapi bekas menteri Umno itu berkeras bahawa beliau tidak melakukan sebarang kesalahan.

Semalam, polis merakamkan percakapan Zaid yang disiasat di bawah Akta Hasutan.

Mengulas lanjut, Tengku Zulpuri Shah yang juga adalah ADUN Mentakab berkata, Umno memulakan serangan dan propaganda halus mereka dengan mula mencetuskan isu keturunan sehingga ia meleret-leret hingga saat ini.

“Umno yang mulakan dahulu mainkan isu keturunan, bila dah tak boleh berhujah, mula sebut kepala bapak dan macam macam lagi.

“Kita daripada HARAPAN jika ikut perangai mereka - itulah yang mereka mahu, politik maki hamun, adu domba dan bukannya politik kebenaran tapi politik kebencian,” katanya.

Portal itu juga memetik Tengku Zulpuri Shah sebagai berkata, Umno sedang cuba mengheret pihak istana dalam politik bagi menjejaskan imej HARAPAN.

“Selepas pihak istana terheret dalam kancah politik, mereka akan mainkan lagu kononnya HARAPAN akan hakis kuasa Raja-Raja Melayu,” katanya.

“Jika Umno berjaya lakukan demikian, sudah tentu imej dan hubungan pihak istana dengan HARAPAN akan terjejas.

“Jadi, kita perlu fokus pada isu rakyat dan jangan terperangkap dalam jerat mainan Umno ini. Jangan termakan dengan adu-domba mereka,” katanya.

Selain Zaid, turut diheret dengan kancah istana adalah Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung kenyataannya yang didakwa menghina keturunan Bugis.

Ucapannya pada himpunan anti-kleptokrasi mengenai “lanun Bugis” yang disasarkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dituduh menghina masyarakat Bugis.

Beliau juga mengundang kemurkaan daripada istana Johor dan Selangor yang mempunyai warisan Bugis.

Susulan itu, bekas perdana menteri itu juga disiasat polis selepas bertindak memulangkan semula semua pingat kebesaran negeri Selangor.

Malah tindakan itu juga dibidas oleh pemimpin Umno dengan Ketua Umno Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos mendakwa Dr Mahathir “cuba memperlekehkan atau buat protes”.