Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
GST akan terus naik jika tak dimansuhkan - Guan Eng
Diterbitkan:  Feb 20, 2018 5:51 PM
Dikemaskini: 9:58 AM

Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di negara ini dijangka akan terus meningkat mengikut trend semasa, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Ia berdasarkan pengumuman yang dilakukan oleh Menteri kewangan Singapura Heng Swee Keat, semalam bahawa republik itu akan menaikkan GST daripada tujuh peratus kepada sembilan peratus antara tahun 2021 hingga 2025.

“Ini mengesahkan trend sedunia di mana, apabila GST diperkenalkan, kadarnya hanya akan menaik. Satu-satunya jalan penyelesaian untuk menghalang kenaikan kadar GST adalah menerusi penghapusannya.

“Inilah janji Pakatan Harapan. Kami akan hapuskan GST dalam tempoh 100 hari pertama kami mengambil alih kuasa pemerintahan, dan kami akan memulihkan Cukai Jualan dan Khidmat (SST),” kata Lim dalam kenyataannya, hari ini.

Pakatan Harapan (HARAPAN) melalui pembentangan Belanjawan Alternatif 2018 berjanji akan menghapuskan GST sekiranya mereka mentadbir negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

Lim berkata, sekiranya rakyat memilih BN pada PRU ini, GST bukan hanya akan dikekalkan malah kadarnya mungkin akan dinaikkan di masa akan datang kerana BN berpendapat ia adalah cara menyelamatkan Malaysia.

Anggota Parlimen Bagan itu turut berkata, Singapura adalah negara berpendapatan tinggi maka mereka mampu melaksanakan GST.

Selain itu, beliau berkata Singapura juga memperkenalkan GST dengan kadar tiga peratus sahaja kerana dikhuatiri memberikan kesan negatif kepada ekonomi negara.

“Lainlah dengan Malaysia yang mulakan GST pada kadar enam peratus, mengakibatkan dislokasi ekonomi dan gangguan kadar kehidupan yang menyusahkan rakyat jelata,” katanya.

Inflasi, kos hidup meningkat

Katanya, akibat ekonomi negara yang berpendapatan rendah dan dalam masa yang sama GST juga diperkenalkan menyebabkan kadar inflasi dan kos sara diri semakin meningkat.

“Rakyat Malaysia dari kelas menengah ke bawah mendapati kehidupan mereka telah menjadi lebih miskin secara relatif, di mana kadar kenaikan gaji mereka gagal bertanding dengan kadar inflasi atau kadar pertumbuhan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar)," katanya.

Beliau turut berkata ketika zaman pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas perdana menteri itu tidak memperkenalkan GST walaupun ketika itu negara menghadapi krisis ekonomi teruk, kerana akan memberi kesan buruk kepada rakyat.

“Regim BN masa kini tidak peduli dengan masalah ini, dan hanya ingin mencari jalan menutup “lubang kewangan” yang diakibatkan oleh skandal-skandal kewangan, khasnya skandal 1MDB yang bernilai RM52 bilion,” katanya.

 

Lihat Komen
ADS