Dikecam tak sensitif, Kok dakwa jadi mangsa ciapan palsu
Nama Anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok 'panas' lagi malam ini gara-gara dia dituduh menciap mengenai masalah gangguan bekalan air tanpa mempedulikan sensitiviti orang ramai.
Bagaimanapun Kok berkata ciapan yang disebarkan pihak tertentu itu bukan daripada dirinya.
Malah kata anggota parlimen DAP itu, dia tidak terbabit menghantar ciapan berkenaan sebaliknya didalangi pihak tertentu yang memalsukan nama serta gambarnya.
"Sekali lagi ada orang buat tweet atas nama dan gambar saya. Saya tak pernah tulis tweet seperti ini. Celaka orang yang palsukan tweet saya," katanya di Twitter malam ini.
Terdahulu beberapa pengguna Twitter mengecam 'Kok' kerana mempersoalkan kesusahan dialami orang ramai yang berdepan gangguan bekalan air sekarang.
'Kok' didakwa menulis: "Zaman nabi padang pasir tak ada air pun boleh hidup. What are the problems faced by common people these days? (Apa masalah yang dihadapi oleh orang kebanyakan sekarang?)".

Tidak lama kemudian Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Mohd Razlan Muhammad Rafii mempersoalkan sama ada Kok memang membuat ciapan begitu.
"Adakah YB sudah terlepas tweet dan delete (memadamkannya) selepas itu?" katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Razlan berkata perkara seumpama itu sensitif kepada umat Islam.
Tersasar dari jangkaan asal
"Saya nasihatkan YB Teresa Kok supaya terus menghormati rakyat Malaysia.
"Kita tidak mahu budaya benci membeci antara agama ini tular di dalam masyarakat kita.
"Sekiranya ianya fitnah, beliau harus memberikan penafian untuk perkara ini dan sekiranya tweet ini benar, beliau harus memohon maaf kepada umat Islam dan rakyat Malaysia," katanya.
Berdasarkan pemerhatian memang terdapat beberapa kejanggalan pada ciapan yang didakwa dibuat oleh Kok.
Antaranya maklumat mengenai waktu ia dihantar serta butang ulang ciap yang tidak kelihatan.
Sebahagian kawasan di Lembah Kelang kini berdepan masalah gangguan bekalan air ekoran kerja-kerja pembaikan peralatan kritikal selama 10 jam di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) bermula hari ini.
Baca Tingkat usaha tangani berita palsu
Antara kawasan yang terlibat adalah Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor dan Kuala Langat.
Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) berkata pembaikan itu disiapkan pada jam 5 petang tadi, iaitu lebih awal daripada jangkaan.
Bagaimanapun Sistem Mampatan Udara (Surge Vessel System) di Loji Rawatan Air SSP3 itu pecah.
Pegawai Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) serta Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd dan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) berada di tempat kejadian.
Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Abdul Raof Ahmad berkata insiden itu berlaku semasa persediaan untuk mengaktifkan semula pengoperasian loji.
Kejadian ini telah menyebabkan kecederaan serius kepada kakitangan yang bertugas di tapak terbabit.
Susulan daripada insiden tidak dijangka itu, masa pemulihan bekalan air akan tersasar dari jadual asal seperti dimaklumkan pada notis hebahan media sebelum ini.


确定要删除留言?
此后将无法恢复