Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM sahkan Azeez tak terbabit sogokan RM3 juta
Diterbitkan:  Mar 7, 2018 11:59 AM
Dikemaskini: 4:29 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim tidak terbabit dalam dakwaan menerima RM3 juta berkaitan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Portal Utusan Malaysia memetik Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki sebagai berkata, pihaknya telah menyemak dokumen berkaitan susulan tahanan reman dua individu bergelar Datuk Seri dan Datuk namun mendapati tiada penglibatan Abdul Azeez dalam kes tersebut.

“Setelah semakan dibuat terhadap dokumen berkaitan yang kita ambil, beliau didapati tidak terlibat dalam hal ini.

“SPRM juga tiada keperluan memanggil beliau selepas Zenith (Konsortium Zenith Construction Sdn. Bhd.) menarik balik notis tuntutan dan membuat permohonan maaf kepada Ahli Parlimen Baling itu,” katanya yang dipetik oleh portal milik Umno itu.

Isu ini bermula apabila Zenith pada 4 Mac lalu menghantar surat tuntutan kepada Abdul Azeez kerana didakwa gagal memberi khidmat rundingan untuk "memastikan kepentingan konsortium" dalam projek itu, walaupun telah menerima bayaran tersebut.

Abdul Azeez menafikan dakwaan itu dan membuat laporan polis. Beliau kemudian memaklumkan Zenith telah menarik balik surat tuntutan itu. Menurutnya, syarikat pemaju itu turut memohon maaf kepadanya dan mengakui kesilapan dalam notis tuntutan tersebut.

Semalam, pemimpin Umno itu turut menuntut Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, supaya menarik balik kenytaaan yang mengaitkan dirinya dengan bayaran RM3 juta tersebut.

Lim, walau bagaimanapun berkata beliau tidak akan memohon maaf dan sebaliknya sedia berdepan tindakan saman daripada Abdul Azeez.

Lim sebelum ini berulang kali menegaskan projek terowong dasar laut itu adalah "bersih" dan diserahkan kepada Zenith pada 2013 melalui jawatankuasa tender terbuka, yang diketuai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Farizan Darus.

Lihat Komen
ADS