Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hadi: PAS wajib sokong RUU antiberita palsu
Diterbitkan:  Apr 3, 2018 4:16 PM
Dikemaskini: 8:28 AM

PRU14 | PAS mengambil pendekatan melalui pertimbangan aspek moral semasa menyokong Rang Undang-undang (RUU) Akta Antiberita Tidak Benar yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata langkah seumpama itu pernah dilakukan parti berkenaan di parlimen suatu ketika dulu.

Katanya semasa kerajaan mencadangkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) PAS sendiri menyokong RUU berkenaan semasa ia dibentangkan pada 1957 ekoran keadaan negara dalam darurat dan berdepan ancaman komunis serta pelampau.

Menurut anggota parlimen Marang berkenaan, ISA disalahgunakan oleh kerajaan, termasuk menjadikan ahli PAS sebagai mangsanya.

"Namun dari sudut moral, PAS menyokong ISA demi keselamatan negara.

“Begitu juga menghidupkan moral yang luhur dan mulia, kita menyokong Akta Antiberita Tidak Benar ini," katanya seperti dilaporkan harakahdaily hari ini.

RUU Antiberita Tidak Benar diluluskan Dewan Rakyat semalam selepas mendapat undi majoriti, dengan 123 menyokong dan 64 membantah.

Sebelas daripada 13 anggota parlimen PAS menyokong RUU berkenaan, manakala dua yang lain - Abdul Hadi (Marang) dan Nasrudin Hassan (Temerloh) tidak hadir.

Nanti tak payah pinda

RUU itu digubal bagi mengekang penyebaran berita palsu dan mewujudkan langkah-langkah pencegahan yang timbul daripada khabar yang tidak benar.

Bagaimanapun RUU mengalami pindaan kecil pada fasal 4 dengan perkataan "diketahuinya" (knowingly) digantikan dengan perkataan "niat jahat" (maliciously).

Pada fasal 5 pula, jumlah hukuman penjara dipinda daripada 10 tahun kepada enam tahun.

Sebahagian besar pembangkang menganggap RUU berkenaan digubal bagi menutup mulut pengkritik kerajaan dan sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Tidak seperti parti pembangkang lain, PAS yang beramal dengan gagasan politik matang dan sejahtera mengambil pendirian menyokong RUU berkenaan.

Abdul Hadi berkata PAS menyokong RUU itu kerana banyak kesan positif yang boleh diperolehi daripadanya bagi memulihkan akhlak serta perangai media massa menyampaikan maklumat.

Melihat kepada situasi pada hari ini, katanya, terlalu banyak perkara "bohong dan fitnah" disebarkan media massa khasnya di media sosial.


Baca PAS jamin akta antiberita palsu diguna dengan adil


Pada masa sama Abdul Hadi juga mengakui ada kemungkinan akta antiberita tidak benar itu nanti akan disalahgunakan juga kerana Umno beranggapan mereka akan kekal berkuasa selepas ini.

"Tetapi PAS melihat dari aspek moralnya, wajib menyokong akta tersebut.

"PAS (juga) melihat dari sudut pandang kesan positif bagi mendidik rakyat serta memberikan kemudahan jika PAS diberikan kemenangan (dalam PRU) tanpa perlu meminda, hanya melaksanakan saja," ujar beliau.

Naib Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia itu juga menegaskan PAS adalah satu-satunya parti yang tidak membenarkan maklumat fitnah disebarkan, berbeza dengan parti lain yang "boleh melakukan apa sahaja".

“Mungkin (parti lain itu) akan terhalang tindakan mereka pada masa akan datang, maka kerana itulah mereka membangkang undang-undang tersebut dilaksanakan," katanya.

Lihat Komen
ADS