INKUIRI SUHAKAM | Pegawai polis yang menyiasat kes kehilangan aktivis Perlis Hope Amri Che Mat merumuskan terdapat 'perbuatan khianat' dengan melihat cara kereta Amri ditemukan dengan tingkap pecah selepas beliau hilang.

Bagaimanapun, sesi siasatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini diberitahu kehilangan Amri masih menjadi kes orang hilang.

Amri memandu kenderaan Toyota Fortuner berwarna hitam sebelum hilang pada awal pagi 25 November 2016.

Inspektor Khor Yi Shuen Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar berkata kenderaan itu yang dipindahkan ke IPD Padang Besar pada pagi selepas kejadian kehilangan itu telah dipecahkan kesemua tingkapnya.

Pegawai polis forensik polis juga menemukan botol air plastik kosong dan 'pasir bercampur kaca' yang didapati daripada kereta itu.

Kerosakan disengajakan

"Saya boleh katakan ia perbuatan khianat kerana melibatkan kerosakan harta benda yang disengajakan," kata beliau menjawab soalan peguam K Muthiah yang mewakili keluarga Amri.

Ketika ditanya lebih lanjt, Khor berkata walaupun terdapat bukti tersebut, kes itu kekal diklasifikasikan sebagai kes orang hilang, namun beliau menambah kemungkinan Amri diculik tidak dapat ditolak.

"Maklumat yang saya dapat setakat ini hanya berkaitan dengan kes orang hilang...(tapi) kami sedang menyiasat kes ini daripada pelbagai sudut," kata inspektor itu.

Soal periksa balas peguam mendedahkan Khor tidak menyiasat kebimbangan isteri Amri, berkenaan kebarangkalian ancaman keselamatan aktivis itu kerana dakwaan beliau seorang Syiah.

Dr MAZA akan beri keterangan

Inspektor itu berkata pasukan beliau telah mewawancara pegawai di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JHEAIPS) bagi memahami amalan agama Syiah kira-kira 11 bulan selepas kejadian pada Oktober 2017 itu, tetapi tidak menjelaskan secara terpeinci.

"Hal ini menunjukkan tahap penyiasatan walaupun terdapat kemungkinan ancaman. Tiada penyiasatan dilakukan berhubung ancaman tersebut," Muthia memberitahu panel Suhakam.

Siasatan hari ini berlangsung di hadapan Pesuruhjaya Suhakam Datuk Mah Weng Kwai dan bersama beliau ialah pesuruhjaya Datuk Aishah Bidin dan Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleh.

Inkuiri Suhakam ini akan bersambung semula pada 12 April 2018 akan datang dengan Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin dijadualkan memberi keterangan.


Suhakam menjalakan siasatan sama ada kehilangan Amri adalah 'kehilangan paksa atau tidak disengajakan' seperti yang ditakrifkan oleh Konvensyen Antarabangsa Bagi Perlindungan Semua Orang Daripada Kehilangan Yang Dipaksa (ICPPED).

ICPPED mentakrifkan kehilangan paksa sebagai penangkapan, penahanan, penculikan atau apa-apa bentuk kehilangan kebebasan disebabkan oleh ejen-ejen negara atau oleh orang, atau kumpulan, yang bertindak dengan kebenaran, sokongan atau persetujuan negara.

Instrumen ini telah diterima pakai oleh Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2006. Malaysia bagaimanapun bukan penandatangan ICPPED.

Suhakam juga menyiasat kehilangan Koh dan paderi Joshua Hilmy serta isterinya Ruth Sitepu di bawah terma rujukan yang sama sejak 19 Oktober tahun lepas.

Bagaimanapun, ketika pendengaran saksi mengenai kehilangan Koh dijalankan, polis mendakwa bekas pemandu Uber, Lam Chang Nam, 31, pada 16 Januari lalu sebagai suspek yang telah menculik Koh.

Perkembangan ini memaksa Suhakam menggantung siasatannya terhadap kehilangan Koh.

[Baca berita penuh]