Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
AMANAH Perak mungkin saman Zuhdi
Diterbitkan:  Apr 22, 2018 1:00 PM
Dikemaskini: 5:11 AM

PRU14 | Anggota Jawatankuasa Pusat PAS Dr Zuhdi Marzuki mungkin disaman jika gagal membuktikan dakwaannya yang mengaitkan AMANAH Perak dengan sumbangan daripada ahli perniagaan terkenal.

Setiausaha AMANAH Perak Salman Saleh berkata parti itu tidak menerima sumbangan daripada ahli perniagaan yang disebut Zuhdi itu, atau mana-mana pihak lain.

"AMANAH Perak menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Zuhdi kononnya kami menerima wang atau sumbangan sebanyak RM500,000, RM5 juta mahupun RM50 juta daripada mana-mana pihak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Penjelasan itu dibuat ekoran dakwaan Zuhdi terhadap AMANAH semalam.

Zuhdi yang juga pengarah Pusat Penyelidikan PAS mendakwa PAS ialah parti politik paling berintegriti dalam usaha mendapatkan dana membiayai kempen pilihan raya berbanding pihak lain.

Katanya PAS memperoleh wang melalui pendanaan awam (crowdfunding) dan ia tidak terikat dengan apa-apa kepentingan daripada penyumbang.

"Kemasukan sumbangan dana ke akaun umum PAS adalah telus dan boleh disemak oleh khalayak umum," katanya.

Tolak anugerah dedak

Kenyataan itu dibuat sehari selepas dia dilaporkan mengaku PAS menerima dana bernilai RM2.5 juta daripada individu dan wang berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan Umno.

Berdasarkan maklumat yang tular di media sosial individu terbabit dikatakan pegawai khas seorang pemimpin kanan Umno di peringkat pusat.

Zuhdi seterusnya mendakwa AMANAH Perak - serta DAP - mendapat sumbangan daripada seorang ahli perniagaan yang menyerahkan dana kepada kedua-dua parti terbabit - masing-masing bernilai RM500,000 dan RM50 juta.

"Apa motif tauke ini memberi sumbangan kepada AMANAH Perak?" katanya.

Salman (gambar) berkata dakwaan dibuat Zuhdi itu tidak berasas serta berniat jahat.

Katanya tidak seperti PAS, AMANAH ialah sebuah parti politik yang sama sekali berbeza.

“AMANAH Perak dengan tegas menolak segala bentuk amalan politik wang dan politik 'dedak' seperti apa yang melanda PAS ketika ini,” tegasnya.

Mengulas lanjut, Salman berkata kenyataan Zuhdi itu sengaja direka bagi menutup aib yang sedang ditanggung oleh PAS.

“Kami berpandangan, kenyataan itu dibuat dengan niat jahat untuk memburuk-burukkan nama baik AMANAH secara keseluruhannya bagi mengaut keuntungan politik murahan melalui fitnah jahat yang tidak berasas.

“Ini kerana beliau beberapa hari lalu telah membuat pengakuan tentang penerimaan dana sebanyak RM 2.5 Juta seperti yang didedahkan oleh Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar,” katanya.


Baca Dr M terus masuk perangkap DAP


Tambah Salman, fitnah tersebut dilakukan kerana PAS sangat terkesan dengan pengakuan Zuhdi selepas ia dilihat bertentangan dengan penafian pimpinan parti itu sebelum ini.

Justeru, AMANAH Perak mendesak agar Zuhdi mengemukakan bukti berhubung dakwaan dibuatnya itu.

“Sekiranya gagal, kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang," katanya.

Lihat Komen
ADS