Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Rangkuman #1: HARAPAN bolos gawang sendiri
Diterbitkan:  Apr 29, 2018 12:03 AM
Dikemaskini: 5:05 PM

RANGKUMAN | Penamaan calon pilihan raya umum (PRU) ke-14 hari ini sedikit sebanyak memberi gambaran situasi hari mengundi pada 9 Mei nanti.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), berdasarkan penamaan calon hari ini, sebanyak 70 kerusi akan menyaksikan pertembungan empat penjuru.

Pertembungan tiga penjuru pula akan terjadi di 143 kerusi parlimen dan di 331 kerusi DUN.

Berikut merupakan antara rangkuman peristiwa hari ini: 

Enam calon HARAPAN dibatalkan pencalonan

Proses penamaan calon ditutup secara rasmi kira-kira 3.30 petang yang menyaksikan proses berjalan lancar meski terjadi beberapa insiden.

Di Negeri Sembilan, menteri besar sementara Datuk Seri Mohamad Hasan diisytiharkan menang tanpa bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau setelah pencabarnya S Streram dari PKR tidak dibenarkan memasuki pusat penamaan calon kerana tidak membawa pas calon seperti yang disyaratkan Suruhjaya Pilihan Raya (SPR).

Selain Streram, lima calon HARAPAN lain turut dibatalkan pencalonannya. Tian Chua (PKR) di parlimen Batu, Pizi Jihat (BERSATU) di DUN Bukit Pasir, Yaakob Osman (BERSATU) Di DUN Penaga, Mohd Azihan Che Seman (PKR) di DUN Tawang, dan Mohd Hafidz Amran (PKR) di DUN Kuala Balah.

Pencalonan Nik Omar Nik Abdul Aziz di DUN Chempaka mengesahkan spekulasi anak bekas Mursyidul Am PAS itu yang akan mewakili HARAPAN.

Di Sabah pula, kehadiran beramai-ramai penyokong WARISAN berarak ke pusat penamaan calon mencuri perhatian di media sosial.

Tempoh 11 hari berkempen

Tidak lama selepas penamaan calon ditutup, Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah mengadakan sidang media antara lain mengingatkan agar semua parti mematuhi peraturan kempen yang ditetapkan.

Mohd Hashim menegaskan bahawa bahan kempen seperti bendera hanya boleh memaparkan gambar calon dan pemimpin yang berkaitan.

SPR sebelum ini memperkenalkan syarat tambahan yang menggariskan hanya gambar calon dan pemimpin bertaraf presiden serta timbalan presiden yang dibenarkan pada bahan kempen.

Peraturan terbaru itu dikatakan akan menghalang gambar Dr Mahathir digunakan dalam kempen HARAPAN memandangkan gabungan itu tidak berjaya didaftarkan selan BERSATU dibubarkan oleh Jabatan Pendaftar Persatuan (ROS).

Mohd Hashim turut memaklumkan, dalam penamaan calon hari ini, 11 kertas pencalonan ditolak yang terdiri daripada tiga kerusi parlimen dan lapan kerusi DUN.

Dan kempen pun bermula

Tidak ambil masa lama sebelum tempoh 11 hari berkempen dimanfaatkan. Di Parit Raja, Johor, sebuah lori dengan logo 1Malaysia diparkir di tepi jalan menayangkan klip video berkaitan 1MDB.

Klip video itu memaparkan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy memberi penjelasan berhubung hutang 1MDB.

1MDB merupakan antara agenda kempen utama HARAPAN dalam serangan mereka terhadap Najib dan BN.

Di Melaka pula, selepas membantu seorang penunggang motosikal yang terlibat kemalangan, ketua menteri semntara Datuk Seri Idris Haron meneruskan programnya di pasar malam bertemu orang ramai.

Calon BN bagi kerusi DUN Sungai Udang itu sempat menyanyikan lagu Nyanyian Serambi oleh Ramli Sarip apabila dihulurkan mikrofon oleh seorang busker.

Beberapa laporan polis turut dibuat susulan penamaan calon hari ini.

Selain Tian Chua yang mahu mencabar pembatalan pencalonannya di mahkamah, setiausaha akhbar calon BN kerusi parlimen Bentong mendakwa pencabarnya Wong Tack (PKR) bersama penyokongnya memberi gambaran buruk terhadap Liow Tiong Lai melalui klip video di Facebook.

Sementara itu, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli mendakwa polis dan pegawai SPR sengaja menghalang Streram daripada mengemukakan kertas pencalonan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Fuzi Harun menafikan dakwaan itu.

Media sosial pula menyaksikan beberapa artis memuat naik kenyataan dan gambar menyatakan sokongan terhadap parti politik pilihan mereka.

Pelakon drama 'Gerak Khas' Abby Abadi yang turun di pusat penamaan calon berkata dia mahu membantu calon DUN Chempaka Nik Omar yang dikatakan berpotensi menjadi menteri besar sekiranya HARAPAN menang di Kelantan.

Anne Ngasri pula yang merupakan isteri kepada ahli politik BN di Pontian memuat naik gambarnya memakai baju BN di Instagramnya dan menyatakan harapan agar BN menang besar.

Ceramah-ceramah politik

Kehadiran anak pengerusi HARAPAN, Marina Mahathir bersama ketua menteri sementara Pulau Pinang mencuri tumpuan kira-kira 10,000 yang hadir di program HARAPAN di George Town malam ini.

Sementara itu, di Teluk Intan, calon BN Mah Siew Keong menghadiri majlis kebudayaan bersama kira-kira 300 kaum India.

Program ceramah BN di Shah Alam pula menampilkan CEO 1MDB Arul Kanda yang mengadakan sesi soal jawab berhubung isu 1MDB.

PRU kali ini menyaksikan BN dicabar oleh wakil HARAPAN yang bertanding menggunakan logo PKR, diterajui oleh bekas presiden Umno sendiri, Dr Mahathir.

Meskipun reputasi Najib dilihat sedikit terjejas ekoran skandal 1MDB, beberapa tinjaun dan kajian menjangkakan BN akan mampu mempertahankan Putrajaya.

Bagaimanapun, HARAPAN dijangka memberi saingan sengit.

Lihat Komen
ADS