Islam merupakan dasar perjuangan PAS sejak sekian lama dan oleh itu tidak ada sebab sebuah parti baru ditubuhkan bagi menggantikan tempatnya, kata timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan Datuk Dr Johari Mat.

Beliau memberikan analogi solat berjemaah dalam sebuah masjid, di mana individu yang datang kemudian dilarang membuat jemaah baru pada waktu yang sama.

"Kena join (sertai) jemaah awal itu juga, kecuali jemaah awal itu selesai, baru kita buat jemaah baru.

"Begitu juga kaedah kita guna dalam masalah ini, maka sepatutnya tidak ada parti baru yang membawa (dasar) sama.

"Sebab dah ada dah (PAS) kecuali yang sedia ada ini batal," katanya pada sidang media di Kota Bharu, hari ini.

Johari berkata demikian ketika mengulas pertembungan pembawaan Islam antara Nik Omar Nik Abdul Aziz dan calon PAS di dewan undangan negeri (DUN) Chempaka, Ahmad Fathan Mahmood pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), 9 Mei nanti.


Baca:Akhirnya sah Nik Omar bakal tanding DUN Chempaka


Terdahulu, Nik Omar yang juga anak bekas bekas mursyidul am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyertai PRU14 sebagai calon Pakatan Harapan (HARAPAN).

Menerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) anak kedua daripada 10 beradik itu dilihat membawa perjuangan Islam yang disebut-sebut sebagai membawa legasi ayahnya.

Bagaimanapun penyertaan Nik Omar bersama HARAPAN menerima kritikan hebat daripada PAS, termasuk ibunya sendiri yang menyifatkan beliau sebagai seorang anak derhaka.


Baca: Jadi anak derhaka kalau tak tarik diri


PAS tak tutup pintu

Mengulas lanjut Johari berkata, Malaysia merupakan sebuah negara demokrasi dan mana-mana pihak boleh menubuhkan sebarang organisasi yang meletakkan dasar seperti PAS.

Namun tegasnya, dalam kaedah sembahyang berjemaah, jemaah yang lama tidak boleh diketepikan.

"Hal ini kalau nak related begitu juga dengan parti.

"PAS memperjuangkan Islam, sepatutnya tidak ada lagi parti yang buat untuk menyaingi PAS. Kalau untuk menyokong tak apa, bukan untuk melemahkan atau memecahkan," jelasnya.

Tambah beliau, Nik Omar termakan pujukan dan rayuan pihak-pihak tertentu dan pintu untuk kembali kepada PAS sentiasa terbuka.

"Kita berdoalah. Setiap orang yang tersilap boleh betulkan semula, dah terlajak boleh betulkan.

"Allah buka jalan mereka bertaubat dan kita dalam PAS tak pernah tutup pintu untuk mereka kembali," katanya yang turut mengibaratkan Nik Omar sedang menaiki bas tanpa hala tuju yang jelas.