Paling Popular
Terkini

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak mahu orang lain melalui pengalamannya yang dituduh dan disabitkan kesalahan tanpa melalui proses sewajarnya di bawah undang-undang.

Bercakap kepada kira-kira 500 penyokong yang menghadiri majlis berbuka puasa di rumahnya di Segambut di Kuala Lumpur malam ini, Anwar menegaskan perkara itu meskipun beliau percaya ada bukti mencukupi untuk mendakwa bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Walaupun saya percaya ada cukup alasan untuk mendakwa Datuk Seri Najib, tapi adakah saya boleh arah untuk dakwa dia? Tidak. Dia mesti ikut proses, dapatkan kes prima facie yang cukup kuat sebelum dakwa.

"Boleh kita atur hukum hakim? Tak boleh. Kena melalui proses itu," kata.

Bersempena bulan Ramadan, Anwar juga mengingatkan penyokongnya agar bersyukur ke hadrat Allah SWT dan tidak menyimpan dendam terhadap mana-mana individu.

"Jadi saya nak sebut jangan kemenangan kita itu menghilangkan rasa syukur kepada Allah. Kalau kita syukur kita ikut perintah Allah.

"Ini kita syukur kepada Allah tapi kita cakap kita bantai dia (Najib), tangkap dia. Ini tak kena sebab itu namanya dendam," katanya.

Kenyataan Anwar malam ini dibuat sehari selepas polis melancarkan serbuan ke rumah Najib di Jln Langgak Duta dan dipercayai masih berterusan sehingga kini.


Baca: Polis serbu lagi kondo Najib malam ini


Anak perempuan Anwar yang juga naib presiden PKR Nurul Izzah, sebelum ini mengutuk serbuan pihak berkuasa itu dan menyamakan pengalamannya ketika bapanya ditangkap.

"Sebagai bekas mangsa serbuan pada awal pagi, saya mesti tegaskan bantahan saya terhadap penggeledahan pada mana-mana rumah pada waktu yang tidak sewajarnya," katanya.

Tegakkan hukum, bukan hukum rimba

Anwar berkata beliau telah menyampaikan mesej yang sama kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai keperluan untuk menegakkan kedaulatan undang-undang semasa pertemuan mereka hari ini.

"Saya beritahu kepada Tun M, dia kata pergi cari dokumen dan sebagainya. Saya setuju tapi beliau kena ikut proses.

"Marah kita, benci kita jangan menyebabkan kita tinggal landasan hukum. Negara ini ada hukum dan kita berjuang untuk tegakkan negara hukum, bukan hukum rimba," katanya.

Terdahulu, Mahathir terdahulu hari ini menafikan campur tangan terhadap urusan polis dan mengatakan serbuan itu dibuat berdasarkan prosedur operasi standard.

Beliau juga berkata tidak berniat untuk 'menyeksa' sesiapa dan mahu setiap individu dilayan dengan baik.


Baca: Geledah rumah Najib: Tidak ada niat seksa sesiapa, kata Dr M


 

Lihat Komen
ADS